Freedom Flotilla terputus hubungan dengan kapal bantuan Handala - Utusan Malaysia

Freedom Flotilla terputus hubungan dengan kapal bantuan Handala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Pertubuhan Gabungan Freedom Flotilla (FFC) mengumumkan mereka terputus hubungan dengan kapal Handala yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam misi memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah tersebut, pada Khamis.

“Semua komunikasi dengan kru Handala telah diganggu.

“Kami hilang sepenuhnya hubungan dengan kru kapal, dan terdapat beberapa dron di sekitar kapal. Ini menunjukkan kemungkinan kapal telah dipintas atau diserang,” katanya.

Koalisi tersebut menyeru penyokong agar mengambil tindakan segera demi keselamatan kru kapal dengan menghubungi wakil rakyat dan media tempatan untuk menekan Israel supaya membenarkan Handala meneruskan perjalanan dengan selamat ke Gaza.

Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai lokasi sebenar kapal, status kru atau pengesahan campur tangan daripada pihak Israel.

Insiden ini berlaku selepas beberapa konfrontasi sebelum ini.

Pada 2 Mei lalu, kapal MV Conscience milik Freedom Flotilla telah diserang oleh dron ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Malta, menyebabkan kebakaran dan kerosakan struktur pada kapal.

Pada 9 Jun, kapal bantuan Madlene dipintas oleh Israel di perairan antarabangsa berhampiran pantai Gaza.

Seramai 12 aktivis antarabangsa termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, dan Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Rima Hassan telah ditahan dan kemudiannya dihantar pulang dengan syarat mereka tidak kembali semula. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×