KUALA LUMPUR: Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 menerima peruntukan terbesar dalam sejarah pembangunan bola sepak wanita di Malaysia, sebanyak RM840,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Peruntukan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempertingkat mutu pertandingan, liputan media serta kemudahan teknikal, sekali gus melonjakkan LWN ke tahap lebih kompetitif, profesional dan berprestij dalam landskap bola sepak negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, KBS komited mengangkat prinsip kesaksamaan gender dalam sukan dan memastikan pasukan wanita menerima peluang sama rata seperti pasukan lelaki.
“Peruntukan ini bukan sahaja mencerminkan sokongan kerajaan terhadap bola sepak wanita, tetapi juga diberikan atas asas prestasi yang ditunjukkan.
“Tahun ini, jumlah pasukan meningkat daripada 12 kepada 22 pasukan, dan liga akan berlangsung selama enam bulan, memberikan tempoh latihan dan perlawanan yang lebih stabil kepada pemain,” katanya kepada media semasa Majlis Pelancaran LWN 2025, di sini semalam.
Dalam usaha memperkukuh lagi kesamarataan dalam sukan, Hannah turut mendedahkan bahawa beliau sudah mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memberikan akses Stadium Nasional Bukit Jalil kepada skuad wanita kebangsaan, sesuatu yang sebelum ini hanya dikhususkan kepada skuad Harimau Malaya sahaja.
“Selama ini hanya pasukan kebangsaan lelaki yang bermain di Stadium Nasional. Saya sudah arahkan supaya pasukan wanita kebangsaan juga diberi peluang untuk berlatih dan bermain di stadium itu. Sudah tiba masanya kita beri layanan yang adil kepada semua,” jelasnya.
Hannah turut menyeru semua persatuan sukan kebangsaan agar mencontohi pendekatan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memperkasakan penyertaan wanita, menurutnya, setiap sukan perlu menyemai nilai inklusif dan menyamaratakan peluang tanpa mengira jantina.
“Kita tidak boleh hanya tumpu kepada bola sepak. Semua persatuan sukan perlu pastikan atlet wanita diberi peluang dan kemudahan yang setara dengan lelaki,” katanya.
Pelancaran LWN 2025 yang penuh simbolik ini dilihat sebagai satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih cerah buat bola sepak wanita negara, dengan harapan agar kejayaan ini menjadi pencetus kepada pencapaian lebih besar di pentas antarabangsa. – UTUSAN










