PETALING JAYA: Perhimpunan ‘Turun Anwar’ di ibu negara pada sabtu ini perlu dilakukan secara aman dan tertib.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati demokrasi dan hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan.
Katanya, Perdana Menteri juga sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan kerjasama sewajarnya demi memastikan keselamatan awam terpelihara.
Selain itu, katanya, kelancaran perhimpunan itu juga dapat dibantu tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar khususnya kepada peserta dan penganjurnya.
“Pendirian kerajaan jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi. Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak yang menentang kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil. Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, ruang ini bukan saja dibuka luas, malah dihormati.
“Apa jua ketidaksetujuan terhadap kerajaan, termasuk menerusi demonstrasi awam tidak akan disekat secara membuta tuli.
“Sebaliknya, ia dianggap sebagai sebahagian amalan demokrasi sihat dan matang, selagi tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, kerajaan berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqomah.
“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang, dan sikap yang bertanggungjawab,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 60 laporan polis diterima berhubung perhimpunan itu.
Katanya, perhimpunan itu dijangka disertai antara 10,000 hingga 15,000 peserta membabitkan gabungan badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam. – UTUSAN











