MIRI: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun cedera serius selepas terjatuh semasa mendaki di kawasan Kem 5, Mulu, kira-kira 15 kilometer di sini petang tadi.
Menurut jurucakap Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.45 tengah hari mengenai seorang pendaki yang jatuh dari ketinggian kira-kira 500 meter.
“Mangsa dikenali sebagai Elisa Paul @ Lisa Paul, berasal dari suku Kelabit, mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan di bahagian kepala.
“Pasukan MOCSAR dari BBP Marudi diketuai Komander Operasi PBB Kenneth Nilong segera dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Menurut jurucakap itu, setibanya di tempat kejadian, mereka memberikan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan dan memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil.
“Susulan itu, Pusat Gerakan Operasi Sarawak (PGO Sarawak) memohon bantuan Unit Udara daripada syarikat Layang-Layang Aerospace Miri Sdn. Bhd. untuk membawa mangsa ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pasukan perubatan dari hospital turut ditempatkan bersama unit udara bagi memberikan rawatan segera sepanjang perjalanan,” tambahnya. – UTUSAN











