PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyalurkan bantuan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris setiap pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Seremban awal pagi tadi.
Mara dalam kenyataan berkata, pihaknya juga sedang menguruskan tuntutan takaful kemalangan dan kematian berjumlah sehingga RM38,000 bagi setiap pelajar tertakluk kepada syarat penyedia takaful.
“Mara komited sepenuhnya dalam memastikan kebajikan dan keperluan semua pelajar yang terlibat diberi perhatian sewajarnya, termasuk sokongan emosi dan psikososial kepada waris serta rakan-rakan pelajar,” katanya hari ini.
Mara dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran konvoi melibatkan pelajar-pelajar berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, perancangan aktiviti konvoi tersebut merupakan inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh pelajar-pelajar sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp tanpa sebarang penglibatan rasmi daripada pihak institusi atau Mara,” katanya.
Tambah Mara, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.
“Pada masa yang sama, Mara akan terus bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan yang terlibat serta agensi berkaitan dalam memastikan tindakan susulan diambil secara bertanggungjawab, telus dan berperikemanusiaan,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, tiga pelajar sebuah kolej di Selangor maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan 15 buah motosikal yang sedang berkonvoi selain sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Seremban awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mendapati kumpulan motosikal ditunggang secara berkumpulan di lorong tengah dan kanan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiga buah motosikal dalam kumpulan yang berada di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke atas jalan raya.
“Kejadian mengakibatkan 12 buah motosikal lain yang sedang bergerak dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar tiga buah motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu, semua yang terlibat turut terjatuh di atas jalan.
“Pada masa yang sama, sebuah kereta dan sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 buah motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kanan kenderaan.
“Akibat kemalangan ini, kedua-dua penunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan seorang penunggang motosikal jenis tidak pasti berusia lingkungan 18 hingga 20-an telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Ujar Mohamad Hatta lagi, 12 penunggang motosikal yang lain telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN











