PARLIMEN: 3,500 usahawan India terima bantuan RM47 juta

PARLIMEN: 3,500 usahawan India terima bantuan RM47 juta

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 3,500 usahawan dalam kalangan masyarakat India menerima bantuan pembiayaan berjumlah RM47.01 juta menerusi Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pembiayaan tersebut disalurkan melalui dua skim iaitu Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big oleh Tekun Nasional selain Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) oleh AIM.

Katanya, bagi SPUMI dan SPUMI Goes Big, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 usahawan India di seluruh negara.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, seramai 1,064 usahawan India telah menerima pembiayaan TEKUN Nasional berjumlah RM29.13 juta di bawah dua skim tersebut.

“Sementara itu, menerusi PENN, seramai 2,422 usahawan wanita India telah menerima pembiayaan berjumlah RM17.88 juta setakat Jun tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan S. Kesavan (PH–Sungai Siput) berhubung jumlah peruntukan pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui skim SPUMI dan PENN.

Ramanan berkata, seramai 7,074 usahawan wanita India telah menerima manfaat daripada PENN sejak ia dilancarkan, dengan pencapaian memberangsangkan apabila kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pada tahun lalu direkodkan kurang satu peratus.

“Kementerian juga terbuka untuk meneliti cadangan supaya kerajaan menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada usahawan masyarakat India sebagai pelengkap kepada bantuan pembiayaan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN