KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi antara bangunan Parlimen terawal di dunia yang dilengkapi dengan sistem solar fotovolta berkapasiti besar sekali gus menzahirkan komitmen negara terhadap penggunaan tenaga bersih dan mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemasangan sistem solar berkapasiti 1.5 megawatt (MW) itu mampu menjana sehingga 1.9 gigawatt-jam (GWj) tenaga elektrik setahun yang dijangka menjimatkan sehingga RM1 juta daripada kos bil elektrik tahunan.
“Parlimen Malaysia kini turut dilengkapi empat petak pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan Ahli Parlimen dan petugas,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Solar Fotovolta di Kompleks Parlimen, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, inisiatif itu selaras dengan dasar kerajaan untuk memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui menerusi pemasangan sistem solar di premis kerajaan.
“Bangunan Parlimen dipilih sebagai projek perintis kerana ia melambangkan institusi tertinggi negara. Langkah ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam memacu agenda peralihan tenaga bersih dan mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan ini akan menjadi pencetus kepada pelaksanaan lebih banyak projek tenaga solar di bangunan-bangunan kerajaan lain bagi mengurangkan pelepasan karbon dan memperkukuh keselamatan tenaga negara. – UTUSAN











