Malaysia raih RM63 bilion pelaburan sektor semikonduktor

Malaysia raih RM63 bilion pelaburan sektor semikonduktor

ANWAR Ibrahim hadir pada ASEAN Semiconductor Summit (ASEMIS) 2025 di Hotel One World. - UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak lebih RM63 bilion pelaburan telah berjaya diperoleh setahun selepas pelancaran Strategi Sektor Semikonduktor Negara (NSS), termasuk RM5 bilion daripada sumber domestik dan RM58 bilion daripada pelabur asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek utama yang diluluskan termasuk pembungkusan lanjutan oleh Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI).

“Ini juga termasuk produk semikonduktor oleh NXP, fasiliti kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar dunia oleh Infineon, mikrofon dan sensor MEMS oleh Syntiant serta pembuatan dan pembaikan semula papan litar bercetak oleh Plexus,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS) di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai sekurang-kurangnya 13 syarikat tempatan dalam rantaian nilai semikonduktor yang berpotensi menjadi juara nasional.

“Sembilan daripadanya termasuk Carsem, Inari, Pentamaster, ViTrox dan Kelington dijangka mencatat pendapatan melebihi RM500 juta tahun ini.

“Empat lagi iaitu OppStar, SkyeChip, Infinecs dan Experior merupakan firma reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu (IC) yang mencatat pertumbuhan pendapatan tahunan melebihi 25 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia menyasarkan untuk melahirkan 10 syarikat dengan pendapatan melebihi AS$1 bilion dan 100 syarikat dengan pendapatan melebihi RM1 bilion.

Beliau turut mengumumkan kerjasama antara Pusat Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) di bawah MITI serta Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Usaha ini adalah sebahagian komitmen di bawah NSS dengan peruntukan cadangan sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh lima tahun.

“Kerajaan kini bersedia memberi sokongan lebih kukuh terhadap pelaksanaan NSS, khususnya dalam membangunkan kelompok 10+100 juara nasional, menerusi tumpuan kepada tiga bidang utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN