KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan percanggahan kenyataan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung serbuan terhadap sebuah program yang didakwa perjumpaan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Pengkalan Chepa, Kelantan, baru-baru ini.
Datuk Ahmad Saad (PN–Pokok Sena) berkata, kenyataan bertentangan antara dua agensi kerajaan itu menimbulkan persoalan serius dan wajar diperjelaskan oleh kerajaan di Parlimen.
“Saya ingin mendapatkan maklum balas kementerian mengenai isu tangkapan pesta gay baru-baru ini kerana wujud percanggahan kenyataan terhadap program tersebut.
“Polis Kelantan mengesahkan tiada penglibatan NGO, klinik kesihatan mahupun KKM dalam acara berkenaan. Bahkan pegawai daripada NGO atau agensi kementerian sendiri tidak hadir.
“Jadi timbul persoalan, siapa yang bercakap benar dan siapa yang tidak?” katanya ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad turut mempersoalkan sama ada tindakan PDRM menyerbu program berkenaan dianggap sebagai pencabulan hak asasi manusia atau ia sebenarnya bertentangan dengan undang-undang, namun berselindung di sebalik penganjuran program kesedaran kesihatan.
Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan memperjelas garis panduan bagi memastikan hak asasi manusia di negara ini tidak dijadikan alasan untuk mengetepikan nilai-nilai yang selaras dengan ajaran Islam dan budaya tempatan.
Beliau berkata, kerjasama antara SUHAKAM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkukuhkan khususnya dalam mengharmonikan prinsip hak asasi manusia dan maqasid syariah.
Katanya, pendekatan terhadap isu-isu seperti pemakaian tudung oleh wanita Muslim serta etika berpakaian sopan di premis kerajaan perlu dinilai berdasarkan keharmonian antara hak asasi dan prinsip syarak.
“Apa yang berlaku ketika ini ialah sebahagian isu hanya dinilai daripada aspek hak asasi semata-mata, sehingga mengetepikan prinsip syariah yang menjadi asas dalam kehidupan umat Islam.
“Asas hakiki kepada hak asasi manusia itu sendiri ialah kepatuhan kepada syariat, sebagaimana yang ditentukan oleh hukum agama,” katanya. – UTUSAN











