PETALING JAYA: Ibu Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa mesej ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ merujuk kepada dirinya dan dihantar bagi menarik perhatian suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.
Jelas Ismanira Abdul Manaf, 30, mesej yang dihantar dalam keadaan cemas dan sewaktu mencari anak autisme tidak langsung merujuk kepada Zayn Rayyan.
“Kandungan di hashtag (tanda pagar) lapan (#8) (merujuk perbualan WhatsApp) tersebut, tidak dimaksudkan ke atas anak saya (Zayn Rayyan).
“Pada hari tersebut, dalam keadaan saya cemas, kelam kabut, sedih, mencari anak saya yang hilang, saya sangat perlukan perhatian suami dan saya hantar perkataan begitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya. Perkataan tersebut, saya maksudkan ke atas diri saya,” katanya.
Ismanira menjelaskan perkara itu sewaktu dipanggil semula oleh peguam bela, Haresh Mahadevan.
Pada 7 April lalu, seorang saksi di peringkat pendakwaan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Mohd. Zaidi Abu Hassan mendedahkan perbualan di aplikasi WhatsApp di antara ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ berlaku sebelum dan selepas kehilangan Zayn Rayyan.
Antara kandungan perbualan yang didedahkan temasuk ‘stresnya sampai rasa nak bunuh orang je’ dan ‘Hang belasah je la sampai puas’ serta ‘lantaklah nak hidup ke nak mati.’
Terdahulu, Ismanira ada memaklumkan bahawa gelaran ‘Manja’ diberikan bagi nombor telefon bimbit Zaim Zahari manakala ‘Baby Sayang’ adalah gelaran bagi nombor telefon miliknya.
Pada Isnin lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN











