PETALING JAYA: Polis mencadangkan memasukkan silibus mengenai bahaya vape yang mengandungi bahan sintetik ke dalam sistem pendidikan selain melaksanakan kempen kesedaran secara berterusan dalam kalangan pelajar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ibu bapa juga disarankan agar sentiasa memantau aktiviti serta barangan anak-anak di sekolah selain berbincang secara terbuka mengenai risiko penggunaan vape serta dadah terlarang.
“Seiring itu, kerjasama masyarakat sangat diperlukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan isu ini.
“Seperti yang diketahui umum, kerajaan sedang memperkemas mekanisme kawal selia produk vape, terutamanya dari aspek kandungan dan pengedaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hussien berkata, Kementerian Kesihatan bersama agensi penguatkuasaan sedang meneliti pelaksanaan sistem pelesenan baharu yang lebih ketat, termasuk pemantauan kandungan cecair vape melalui ujian makmal.
Katanya, penjualan kepada individu bawah umur juga akan dikawal secara tegas.
Hussien memberitahu, pihak polis terus memantau penjualan vape yang mengandungi dadah secara dalam talian.
“Penguatkuasaan kini tidak hanya tertumpu kepada kawalan fizikal, tetapi turut merangkumi ruang digital.
“Sekiranya sesiapa mengetahui apa-apa maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah, diminta terus menyalurkan kepada pihak JSJN melalui talian hotline di talian 012208 7222,” katanya. – UTUSAN











