KUALA LUMPUR: Hanya 33 daripada 1,815 kes yang disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) didakwa di mahkamah sejak penguatkuasaan akta itu bermula pada 2012 sehingga Jun 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, hanya sembilan kes disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan.
Katanya, sebanyak 1,815 kes telah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) di seluruh negara setakat kini.
“Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), semua kes ini melibatkan pelbagai bentuk perhimpunan dan demonstrasi yang dijalankan di pelbagai lokasi sejak akta itu berkuat kuasa,” katanya bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH–Bangi) mengenai perincian jumlah individu yang disiasat, didakwa dan disabitkan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dan mengkaji semula Akta Perhimpunan Aman secara menyeluruh, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 9(5) adalah tidak berperlembagaan.
“Kajian semula ini akan dilakukan secara teliti dan berhati-hati. Sebarang pendirian baharu akan ditetapkan hanya selepas kajian komprehensif selesai selaras dengan prinsip demokrasi, penghormatan terhadap hak asasi manusia dan keperluan semasa negara,” ujarnya.
Menurut beliau, KDN mengambil serius keputusan mahkamah tertinggi negara itu dan berpendirian sebarang pindaan terhadap akta ini perlu seimbang dan menghormati hak kebebasan berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, pada masa sama tidak mengabaikan ketenteraman awam, keselamatan negara dan hak-hak pihak lain.
“Kerajaan komited untuk mengekalkan ruang demokrasi yang terbuka namun tetap menitikberatkan aspek keselamatan serta kelangsungan masyarakat secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN











