Kakitangan kerajaan perlu kekal neutral, elak campur tangan politik

Kakitangan kerajaan perlu kekal neutral, elak campur tangan politik

WAN AHMAD DAHLAN ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kakitangan kerajaan diingatkan supaya kekal neutral dan tidak masuk campur dalam sebarang kegiatan politik, termasuk memakai lambang parti, memegang jawatan atau terlibat dalam kempen kecuali dengan kebenaran khas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sektor awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip neutral dan berkecuali untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan perkhidmatan awam menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara.

Kata beliau, semua pegawai awam wajib mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] yang menetapkan tanggungjawab utama mereka dari segi tatakelakuan.

“Setiap pegawai awam hendaklah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara kepada Malaysia sebagai negara berdaulat, serta kepada Kerajaan.

“Selain itu, semua pegawai awam telah menandatangani Surat Aku Janji seperti diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 2012 [P.U. (A) 1/2012] sebagai komitmen bertulis untuk mematuhi peraturan dan arahan kerajaan.

“Ia menuntut pegawai bertugas dengan jujur, cekap dan bertanggungjawab serta mengelakkan salah laku, penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan tindakan yang boleh mencemar imej perkhidmatan awam.

“Pegawai awam tidak dibenarkan membuat kenyataan awam seperti menyebarkan maklumat palsu, berunsur fitnah, provokasi atau tidak disahkan kebenarannya, menerbitkan artikel, atau menyebarkan maklumat secara lisan atau bertulis, termasuk di media sosial, berkaitan dengan dasar Kerajaan, maklumat dalaman jabatan, atau isu-isu yang boleh menimbulkan keraguan atau persepsi negatif terhadap kewibawaan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat edaran yang dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan

Beliau mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap tatakelakuan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U. (A) 395/1993, dan pegawai boleh dikenakan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja, bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Ini kerana katanya, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.

Selain itu, Jabatan Peguam Negara semalam berkata, setiap rakyat Malaysia dan penjawat awam perlu mematuhi undang-undang negara termasuk menyertai sebarang perhimpunan meskipun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak untuk bersuara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN