KUALA LUMPUR: Peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) diperkukuhkan dengan penyertaan dua agensi kerajaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam masa terdekat ini bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian yang semakin kompleks.
Langkah itu menjadikan jumlah agensi di bawah NSRC meningkat kepada enam, sekali gus memperluas kapasiti pusat dalam usaha membanteras penipuan kewangan dan siber.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemasukan dua agensi tersebut akan memperkukuhkan penguatkuasaan serta penyelarasan tindakan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, penyertaan kedua-dua agensi terbabit dijangka bermula sebaik operasi pusat berpindah ke Cyberjaya, September depan.
“Kedudukan NSRC akan lebih dapat memenuhi fungsinya, ia disertai dengan penambahan 139 perjawatan baharu yang dipersetujui Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Lokasi baharu NSRC di Cyberjaya akan dilengkapi kemudahan peralatan terkini dan teknologi dan suasana yang kondusif.
“Dari segi penguatkuasaan undang-undang, kita turut menambah baik dan meminda akta yang membawa hukuman lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, NSRC menerima kira-kira 500 panggilan jenayah siber secara purata sehari melibatkan aduan dan pertanyaan melalui 997.
Beliau berkata, tiga jenis panggilan diterima membabitkan aduan umum, pertanyaan maklumat dan susulan aduan.
Jelasnya, isu penipuan dalam talian juga akan dibincangkan dalam Persidangan Menteri Keselamatan ASEAN yang dijangka berlangsung pada September ini, untuk kerjasama serantau membabitkan perkongsian maklumat risikan dan operasi.
“Inisiatif ini dilaksanakan susulan peningkatan kes berdasarkan data Majlis Sosial Negara yang merekodkan RM1.5 bilion kerugian membabitkan penipuan online.
“Walaupun trend global (kes penipuan dalam talian) meningkat namun kita tidak mahu jadikan itu alasan sebaliknya mahu melihat di peringkat domestik untuk memperkemaskan seluruh ruang yang menjadi tanggungjawab kerajaan,” katanya. – UTUSAN











