KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Pas mempersoal keberkesanan pelaksanaan program pencegahan HIV di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila lebih 1,000 kes jangkitan dilaporkan dalam kalangan pelajar sejak empat tahun lalu.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, seramai 1,091 pelajar IPT telah dijangkiti HIV sejak 2020 hingga 2024 sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kualiti dan pendekatan sebenar program pencegahan sedia ada.
“Sudah tentu program ini memerlukan seorang ‘trainer’ yang benar-benar terlatih bagi memastikan objektif dicapai dengan jayanya. Maka, ia perlu melalui penilaian dari segi kandungan dan konteks agar selari dengan cabaran semasa,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan beberapa aspek kritikal termasuk kriteria pelantikan jurulatih, kelayakan serta pensijilan mereka, selain menekankan keperluan penilaian semula secara berterusan terhadap keberkesanan program yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, semua modul pencegahan HIV yang dijalankan di IPT telah melalui proses penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa dan panel penilai khas.
Katanya, setiap tahun, modul-modul ini disemak semula untuk ditambah baik berdasarkan maklum balas melalui borang penilaian dan sesi wawancara peserta.
“Kementerian juga menggunakan pendekatan ‘Touch and Stay’ bagi memastikan kesan program berterusan termasuk menerusi penglibatan peserta dalam Rakan Siswa, Rakan Belia dan Rakan Remaja YADIM serta pelaksanaan aktiviti susulan secara berkala,” katanya bagi menjawab soalan tersebut.
Mengenai jurulatih, katanya, pelantikan dilakukan dengan teliti dan hanya melibatkan individu yang mempunyai kepakaran dan kelayakan mengikut modul serta kemahiran yang ditetapkan.
“Kami pastikan penyampai program adalah mereka yang benar-benar layak dan berautoriti dalam bidang masing-masing,” tegasnya. – UTUSAN











