KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia berjaya memadamkan nama mereka dalam semakan kehakiman difailkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berhubung taksiran cukai tambahan melebihi RM5 juta.
Semakan kehakiman itu adalah berhubung tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawati Daud.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Anwar yang dinamakan atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit Mukhriz.
Selepas membuat keputusan tersebut, mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember ini untuk pendengaran semakan kehakiman Mukhriz terhadap Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri yang merupakan responden pertama dalam permohonan itu.
Terdahulu, Nur Irmawati yang mewakili Anwar dan kerajaan yang sebelum ini dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga menghujahkan Notis Taksiran Tambahan itu dikeluarkan oleh responden pertama dan tidak membabitkan responden kedua dan ketiga.
“Permohonan semakan kehakiman itu mengaibkan, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Peguam Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Mukhriz pula menghujahkan bahawa responden kedua (Anwar) telah mempengaruhi responden pertama untuk membuat keputusan dengan mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan itu terhadap anak guamnya.
Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Anwar dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan notis taksiran tambahan berkenaan.
Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.
Bekas Menteri Besar Kedah itu juga memohon perisytiharan, responden kedua (Anwar) telah menyalahgunakan kuasanya menyebabkan LHDN mengeluarkan notis taksiran tambahan dan menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan ia mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.-UTUSAN










