KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi tumpuan kepada penerokaan unsur nadir bumi (REE) sebagai sumber ekonomi baharu negeri selain projek pembangunan tenaga baharu, penerokaan karbon dan hidrogen.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak boleh bergerak lebih laju dalam usaha tersebut kerana bimbang ia bertentangan dengan beberapa undang-undang atau dasar yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.
“Hal ini kerana Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang dalam proses terakhir untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Iklim Negara dan dalam masa sama Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang akan diluluskan pada hujung tahun ini.
“Kelantan mempunyai sumber REE bukan radioaktif kedua terbesar REE di Malaysia,” katanya bagi menjawab soalan Tuan Kamaruzaman Mohamad (Pas-Gual Periok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan dan mewujudkan polisi monetari melalui enakmen-enakmen serta sumber air hak akses penggunaan tanah infrastruktur utiliti Kelantan dengan kutipan hasil RM12.1 juta agi tempoh 2022 hingga Jun 2025. – UTUSAN











