PETALING JAYA: Lapan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar dan dinaikkan pangkat berkuat kuasa bermula 25 Ogos ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Julina Salehuddin berkata, mendahului senarai adalah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff yang bertukar kepada Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran).
Selain beliau, pertukaran itu turut membabitkan Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Deputi Komisioner Alzafny Ahmad akan menggantikan Ahmad Dzaffir sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan.
“Setiausaha PDRM Urusetia Pejabat KPN, Datuk Kamaruzaman dinaikkan daripada Senior Asisten Komisioner kepada memangku pangkat Deputi Komisioner namun memegang jawatan sama.
“Manakala, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris dipindahkan ke Lembah Klang sebagai Komandan Pulapol Kuala Lumpur menggantikan Alzafny Ahmad,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Khairiel Mohd Arif akan menggalas jawatan sebagai Ketua JSJ Kelantan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohammad Rusli Mat akan menggantikan Mohd Khairiel di Pulau Pinang dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
“Ketua Polis Alor Gajah, Superintenden Ashari Samah pula bakal memangku pangkat Asisten Komisioner dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuantan yang baharu,” jelasnya. – UTUSAN









