PETALING JAYA: Ramai umat Islam di negara ini masih tidak memahami sepenuhnya hukum faraid, sekali gus menjadi antara punca utama lebih RM90 bilion harta pusaka kekal tidak dituntut sehingga ke hari ini.
Perancang Harta Pusaka as-Salihin Trustee Berhad, Nor As Hassan berkata, ada tanggapan hukum faraid sudah mencukupi untuk menyelesaikan isu pembahagian harta, tanpa menyedari hakikat ia turut memerlukan pemahaman mendalam dan pelantikan pentadbir harta (wasi) bagi melicinkan proses tersebut.
“Ramai yang tanya, buat apa hendak tulis wasiat kalau faraid sudah ada? Tetapi apabila berlaku kematian, mereka mula keliru siapa yang berhak dan siapa tidak. Ada juga waris mempersoalkan kenapa ibu bapa boleh dapat bahagian sedangkan si mati yang mencari dan mengumpul harta itu
“Konflik keluarga sering tercetus akibat tiada pihak dilantik sebagai pentadbir sah dan tiada dokumen rasmi seperti wasiat untuk dijadikan panduan.
“Wasiat bukan sekadar pembahagian harta tetapi juga untuk melantik wasi yang berkelayakan. Apabila tiada wasi, semua waris mahu ambil peranan, akhirnya berlaku perbalahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, dilaporkan sebanyak RM90 bilion harta pusaka milik umat Islam dibekukan pada 2023 dengan sebahagian besar daripadanya melibatkan hartanah dan wang tunai yang tidak dituntut akibat kegagalan tindakan sewajarnya waris selepas kematian berlaku.
Nor As yang berpengalaman selama 11 tahun dalam perancangan harta pusaka berkata, kebanyakan individu juga berkira-kira untuk membayar kos pendaftaran wasiat yang lazimnya sekitar RM1,600 jika melalui institusi seperti As-Salihin atau menggunakan perkhidmatan Majlis Agama Islam Negeri.
“Mereka rasa membazir, sedangkan kos urus pusaka selepas kematian lebih mahal dan rumit. Ada yang akhirnya terpaksa melantik peguam kerana harta dibekukan terlalu lama atau berlaku perebutan antara waris,” katanya.
Beliau turut kesal kerana apabila timbul masalah, segelintir waris mula menyalahkan pihak berkuasa agama atau institusi berkaitan, sedangkan isu sebenar berpunca daripada sikap tidak ambil peduli dan kurang ilmu. – UTUSAN











