Pembangkang tiada strategi cabar kedudukan Perdana Menteri

Pembangkang tiada strategi cabar kedudukan Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Dewan Rakyat kali ini menunjukkan pembangkang belum bersedia untuk menyerang dan tidak mempunyai strategi menjatuhkan kerajaan.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, salah satu jalan untuk menjatuhkan seseorang Perdana Menteri dalam sistem demokrasi adalah melalui usul tidak percaya di Parlimen.

Katanya, pembangkang melepaskan peluangnya untuk menjatuhkan kerajaan yang dicabar oleh Anwar melalui undi tidak percaya.

“Pembangkang dilihat cuba merancang strategi lain yang kononnya lebih berkesan contohnya dengan menganjurkan perhimpunan jalanan. Namun, strategi itu tidak mampu memaksa Perdana Menteri meletak jawatan.

“Pada masa sama, kegagalan pembangkang menggunakan saluran yang sah dan demokratik seperti Parlimen menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai strategi yang jelas dan mantap untuk mencabar kedudukan Perdana Menteri secara sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Sebaliknya, Johari berkata, antara perkara penting yang akan dibahas dalam sesi kali ini adalah rang undang-undang (RUU) dan usul berkaitan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Turut dibentangkan ialah Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 serta Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohamad Hafis Amat Simin berkata, undi tidak percaya ialah instrumen utama untuk menguji legitimasi dan keabsahan seorang Perdana Menteri serta kerajaan yang memerintah dalam sistem demokrasi berparlimen,

Katanya, ketiadaan usul tersebut menunjukkan bahawa tiada pihak atau pembangkang yang secara strategik bersedia atau mampu mencabar kedudukan Perdana Menteri dalam ruang legislatif formal.

“Ia juga boleh ditafsirkan sebagai ketiadaan konsensus atau strategi politik yang jelas daripada pihak pembangkang, khususnya dalam merangka gerakan yang berkesan untuk menggugat kerajaan.

“Dalam konteks politik Malaysia, landskap politik yang sangat terpecah dengan dinamik parti-parti berbilang ideologi menjadikan usaha menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya sebagai sesuatu yang amat sukar dilaksanakan secara praktikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×