Subsidi telur tamat, kerajaan jimat RM 135 juta

Subsidi telur tamat, kerajaan jimat RM 135 juta

MOHAMAD SABU - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah penamatan subsidi telur secara berfasa menjimatkan perbelanjaan kerajaan RM135 juta bagi tempoh tiga bulan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah pengurangan bermula 1 Mei lalu hingga 31 Julai 2025 ini sebelum penamatan sepenuhnya bermula 1 Ogos nanti.

Katanya, langkah yang dilaksanakan berperingkat bermula pada 1 Mei lalu memberi ruang kepada industri serta pengguna menyesuaikan diri dengan harga pasaran tanpa gangguan mendadak terhadap rantaian bekalan.

“Langkah ini dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM45 juta sebulan, atau RM135 juta bagi tempoh tiga bulan sebelum penamatan sepenuhnya,” katanya.

Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) sebelum ini meminta kerajaan menyatakan jumlah hasil penjimatan menerusi penyasaran semula subsidi telur daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji.

Dalam pada itu Mohamad berkata, kadar inflasi tahunan bagi telur ayam telah mencatatkan penurunan sebanyak -5.3 peratus Mei lalu.

“Bagaimanapun, penurunan ini tidak berlaku secara menyeluruh merentas semua gred telur, kemungkinan besar disebabkan oleh fasa penyesuaian harga pasaran selepas pelaksanaan subsidi bersasar,” jelasnya.

Menurut Mohamad lagi, setakat Julai ini, anggaran pengeluaran telur ayam adalah sebanyak 1.75 bilion biji sebulan, manakala keperluan penggunaan domestik dianggarkan sebanyak 1.06 bilion biji.

“Ini menunjukkan terdapat lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji telur, yang sebahagiannya akan digunakan bagi tujuan pasaran eksport,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×