LONDON: Florian Wirtz turun beraksi buat kali pertama bersama Liverpool ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membenam Stoke City 5-0 dalam aksi persahabat tertutup, semalam.
Dalam aksi di Pusat Latihan AXA, Kirkby itu, Wirtz yang dibeli dari Bayer Leverkusen dengan harga 116 juta pound (RM659 juta) beraksi pada separuh masa pertama untuk mengawal jentera tengah.
Darwin Nunez meledak hatrik pada separuh masa pertama, manakala Rio Ngumoha turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum Federico Chiesa menyempurnakan kemenangan besar itu selepas rehat.
Menurut Liverpool Echo, barisan serangan Liverpool dibarisi Ngumoha di sayap kiri, Mohamed Salah di kanan dan Nunez sebagai penyerang tengah, manakala Curtis Jones bergandingan dengan pemain muda, Trey Nyoni, di jentera tengah.
Dominik Szoboszlai diturunkan sebagai bek kanan, dengan Joe Gomez bergandingan bersama Virgil Van Dijk di pertahanan tengah, Andy Robertson di kiri dan penjaga gol baharu, Giorgi Mamardashvili, menjaga gawang.
Pada babak kedua, Ibrahima Konate diturunkan bersama barisan kedua yang serba baharu dengan Armin Pecsi, pemain muda yang baru ditandatangani, mengawal gawang selain Kostas Tsimikas mengawal pertahanan tengah, Conor Bradley di bek kanan dan Milos Kerkez di bek kiri.
Liverpool kini bersedia memulakan siri jelajah pramusim mereka dan akan menentang AC Milan di Hong Kong pada Sabtu ini, sebelum meneruskan aksi kedua menentang Yokohama F. Marinos di Jepun. – AGENSI/UTUSAN










