BNM dijangka kekal OPR hingga pertengahan 2026

BNM dijangka kekal OPR hingga pertengahan 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar faedah rendah dijangka terus kekal sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun hadapan, susulan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Pelaburan CIMB Group, Ng Boon Hoa berkata, BNM dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, khususnya ketika berdepan risiko kelembapan global dan ketidaktentuan rundingan tarif yang masih belum dimuktamadkan oleh Malaysia.

“Kami menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa 2.75 peratus sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun 2026.

“Agak sukar untuk membuat unjuran tepat bagi 2027 dan tahun-tahun seterusnya memandangkan faktor luaran sentiasa berubah,” katanya selepas sesi pembentangan Tinjauan Pasaran ASEAN sempena Hari Media Kumpulan CIMB 2025: Menerajui Kemajuan di ASEAN, semalam.

Menurut beliau, langkah penurunan kadar baru-baru ini merupakan tindakan awal (preemptive) untuk menyerap ketidaktentuan dalam pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.

“Sekiranya kadar semasa ini berjaya merangsang pertumbuhan, BNM berkemungkinan besar kekal selesa dengan paras tersebut.

“Kenaikan kadar hanya akan dipertimbangkan jika terdapat pengukuhan pertumbuhan yang ketara, berkemungkinan pada 2027 atau 2028, itu pun mungkin hanya sekali atau dua kali,” ujarnya.

Mengulas mengenai aliran masuk dana asing, beliau berkata, pasaran bon tempatan ketika ini menerima manfaat daripada aliran tersebut, sekali gus meningkatkan kecairan dalam sistem kewangan dan menyokong kadar pinjaman yang lebih rendah.

Bagaimanapun katanya, aliran masuk yang terlalu besar berisiko menyumbang kepada tekanan inflasi dalam jangka masa panjang dan memerlukan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa monetari.

“Dana asing boleh keluar dan masuk dengan pantas. Kita perlu berhati-hati. Nilai ringgit memang menunjukkan sedikit pengukuhan hasil aliran masuk ini, tetapi pergerakan mata wang boleh berubah secara mendadak,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai tarif, beliau berkata, walaupun tarif import pada kadar 25 peratus bermula 1 Ogos lalu masih dikenakan, rundingan perdagangan dengan AS masih belum selesai dan nilai dagangan Malaysia masih menunggu kepastian.

“Bagi penguasaan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih luas pula turut mencetus kebimbangan tentang kenaikan harga dan tekanan inflasi, sekali gus melemahkan permintaan pengguna.

“Walau bagaimanapun, titik infleksi dijangka datang daripada aliran masuk dana asing. 

“Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia kini rendah dan sebarang kenaikan akan menyumbang kepada impak positif,” katanya. 

Beliau juga melihat potensi pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pusat data di Johor dan zon ekonomi khas bersama Singapura sebagai pemangkin kenaikan pasaran ekuiti negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×