KUALA LUMPUR: Tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang bermula hari ini.
Sebaliknya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, antara perkara penting yang akan dibahas dalam sesi kali ini adalah Rang Undang-Undang (RUU) dan usul berkaitan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Turut dijangka dibentangkan ialah Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 serta Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),” katanya ketika menyempurnakan pemasyhuran mesyuarat di Parlimen hari ini.
Johari berkata, sesi Dewan Rakyat kali ini dijangka berlangsung sehingga lewat malam bagi memberi ruang kepada perbahasan menyeluruh terhadap isu-isu penting negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sekali gus mengembalikan autonomi institusi Parlimen Malaysia.
“Akta ini memperkasa demokrasi negara serta memperkukuh prinsip pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua ahli Parlimen yang menyokong kelulusan akta bersejarah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Johari turut mengumumkan bahawa semua ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum 7 November ini sebagai langkah pencegahan awal terhadap sebarang risiko kesihatan.
“Surat makluman akan diedarkan tidak lama lagi. Langkah ini penting untuk memastikan kesihatan wakil rakyat sentiasa berada dalam keadaan baik bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Sebelum ini, semua ahli Parlimen telah menjalani pemeriksaan kesihatan dua tahun berturut-turut dan saya ucapkan tahniah atas komitmen yang ditunjukkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang supaya mengemukakan usul undi tidak percaya sekiranya mereka yakin mempunyai sokongan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya bersedia menerima apa jua keputusan yang dibuat di Dewan Rakyat secara demokrasi.-UTUSAN










