Arca JCorp seberat 500 kilogram diturunkan di Pulau Aur - Utusan Malaysia

Arca JCorp seberat 500 kilogram diturunkan di Pulau Aur

ARCA dengan logo JCorp seberat 500 kilogram diturunkan di Pulau Aur sebagai penjenamaan bagi Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 di Pulau Aur, Mersing, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) pertama kali menurunkan arca JCorp seberat 500 kilogram sebagai penjenamaan bagi program rehabilitasi terumbu karang di Pulau Aur, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, arca yang diturunkan sempena Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 itu sebagai usaha memelihara ekosistem marin Johor.

Katanya, pada program itu sebanyak 60 terumbu karang ditanam berbanding 50 terumbu karang yang ditanam pada 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, usaha berterusan itu membuktikan komitmen Yayasan JCorp dalam memulihara habitat terumbu karang dan menyokong kelestarian biodiversiti.

“Sejak 2023, terumbu karang yang ditanam telah menunjukkan perkembangan positif dengan pertumbuhan kira-kira dua sentimeter.

“Kawasan ini kini menjadi habitat kepada lebih 10 spesies hidupan marin, termasuk Bluefaced Angelfish, Regal Angelfish, dan False Clown Anemonefish,” katanya ketika ditemui media pada Program Rehabilitasi Terumbu Karang 2025 di Pulau Aur di sini.

Zaidatul Zurita berkata, seramai 50 sukarelawan terdiri daripada anggota pekerja Kumpulan JCorp dan rakan media menyertai program tersebut yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini.

Katanya, penyertaan pelbagai pihak melambangkan komitmen bersama komuniti korporat dan media dalam menyokong usaha kelestarian alam sekitar.

Jelasnya, selari dengan tanggungjawab sosial korporatnya, Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk Pulau Aur sebagai tanda prihatin dan sokongan terhadap komuniti setempat.

Tambahnya, program tahun ini turut memperkenalkan inisiatif baharu yang mesra alam hasil kerjasama dengan Reef Check Malaysia, iaitu menggunakan botol kaca kitar semula sumbangan komuniti sebagai tapak asas penanaman terumbu karang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pulau Aur, Sabinah Md. Seth berkata, usaha pihak Yayasan JCorp melalui rehabilitasi terumbu karang itu sangat memberi kesan yang sangat baik untuk penduduk pulau itu.

“Penduduk amat menjaga kehidupan laut ini tetapi cabaran yang kita depani adalah pukat tunda daripada nelayan luar serta sampah sarap,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini