PETALING JAYA: Ketika kemelut dana dan pemilihan pelumba terus meruncing, jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Nasir memberi jaminan skuad kebangsaan bersedia galas cabaran di Sukan SEA Thailand 2025 walaupun tanpa bantuan pasukan profesional.
Meskipun pemenang emas dua edisi terakhir adalah gabungan pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan pasukan kebangsaan, Yusof tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kehadiran dua pasukan berstatus bintang itu.
“Kami sebagai pasukan kebangsaan semestinya akan mengikut arahan MSN (Majlis Sukan Negara). Kini hanya terpulang kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) untuk memilih pelumba ke Thailand.
“Tugas kami adalah memastikan pasukan ini sentiasa bersedia dan kalau perlu berjuang tanpa pelumba profesional, kami tetap akan lawan,” kata Yusof kepada Utusan Malaysia.
Nada optimis Yusof itu bagaimanapun meletakkan tekanan baharu kepada PKBM yang kini terperangkap antara tuntutan realiti dan tekanan birokrasi.
Jika TSG dan MPC benar-benar berundur, PKBM perlu menyandarkan sepenuhnya harapan kepada pelumba kebangsaan seperti Tsen Ren Bao, Muhamad Afiq Huznie Othman dan Muhsin Al Redha Misbah yang kini giat membuat persiapan untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober ini.
“Kami sangat berterima kasih atas sokongan peruntukan MSN. Ketika ini kami memberi fokus kepada LTdL dan sekiranya pelumba kami dipanggil ke Sukan SEA, kami bersedia,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan TSG memerlukan kira-kira RM250,000 dari MSN sebagai persiapan rapi menjelang temasya dwitahunan itu namun, tiada komitmen yang diberi oleh MSN selepas pertemuan awal bulan ini.
MPC turut mendedahkan menerusi pengarah sukannya, Sayuti Zahit yang MSN menolak permintaan pasukan benua itu untuk pembelian basikal ujian masa baharu bagi memberi saingan kompetitif dengan pasukan seperti Thailand dan Filipina.
Bagaimanapun, MSN pertahankan bahawa tiada isu kelemahan dalam persiapan selepas memberi peruntukan RM300,000 kepada PKBM bagi persiapan musim ini yang mana hanya berbaki RM196,000 selepas perlumbaan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025 di Thailand, Februari lalu.
Lebih merumitkan keadaan, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menyatakan bahawa PKBM harus memilih salah satu pelumba dari pasukan profesional iaitu TSG atau MPC untuk ke Sukan SEA Thailand. – UTUSAN










