KENYAL dan cair dalam mulut. Itu keistimewaan sate perut bulat sebuah gerai menjual sate di Taman Krubong Jaya di Krubong, Melaka yang menjadi buruan penggemar tegar juadah itu termasuk dari negara jiran.
Tekstur perut yang kenyal dan berlemak ditambah pula rasa kemanisan daripada bahan perapan menjadikan menu tersebut cukup enak di makan begitu sahaja.

Maka tidak hairanlah pemilik gerai Satay Asyura, Mohd. Nazmi Sulaiman, 36, tidak menang tangan menyediakan beratus cucuk sate perut bulat setiap hari demi memenuhi permintaan pelanggan.
Mohd. Nazmi berkata, idea menjual sate menggunakan bahagian perut bulat dicetuskan oleh rakannya yang meminta dia mengolah juadah itu menggunakan resipi sendiri.
Satay Asyura
Taman Krubong Jaya,
Krubong, Melaka.
OPERASI:
Selasa hingga Khamis
(5.30 petang-10 malam)
Jumaat, Sabtu, Ahad
(5.30 petang-10.30 malam)
Isnin tutup
“Proses menghasilkan sate perut bulat agak renyah kerana memerlukan pengalaman dan kemahiran untuk mencuci bahagian perut lembu. Jika tersalah teknik akan menyebabkan pelanggan putus selera makan kerana bahagian itu mungkin berbau busuk.
“Kemudian perut lembu akan diperap selama enam jam bagi memastikan rasa rempah meresap masuk dan sebati. Perapan yang saya hasilkan tidak terlalu manis kerana kurang penggunaan gula,” katanya.

MEnu lain yang dijual di Satay Asyura juga bukan biasa-biasa. Menu eksotik atau jarang dijumpai menjadi pilihan Mohd. Nazmi bagi memberikan kelainan berbanding peniaga sate lain.
Sate lidah, sate lemak, sate urat keting dan sate itik telah dimasukkan dalam senarai menu. Menyebut nama menu sahaja sudah terasa unik tetapi sebenarnya mempunyai penggemarnya yang tersendiri.
Selain itu, tidak lengkap juadah sate tanpa kuah kacang. Kuahnya pekat dan sedikit pedas menambahkan lagi kenikmatan rasa dalam setiap kunyahan.
Menurut Mohd. Nazmi, dia sentiasa mengolah resipi asal kuah kacang milik ibu saudaranya bagi mencipta rasa baharu dan sesuai di makan bersama menu unik yang dihasilkannya.
Dia yang dibantu isteri, Nuratikah Surahman, 34, mula berniaga sate pada 2019 di Tampin, Negeri Sembilan sebelum bertukar lokasi di Krubong pada 2020.
Katanya, dia kini menyediakan lebih 1,000 cucuk sate sehari pada hari biasa dan meningkat kepada 2,000 cucuk sehari pada hujung minggu.
“Bukan sahaja rakyat tempatan malah pelancong dari Singapura dan selebriti terkenal juga pernah singgah makan di gerai ini,” ujarnya.
Harga secucuk sate juga berpatutan iaitu RM1.30 untuk sate ayam dan daging sementara sate lidah, sate lemak lembu dan urat keting RM1.70 secucuk manakala sate itik dan kambing RM2 secucuk. – UTUSAN









