Dalam mana-mana organisasi atau institusi, barisan kepimpinan adalah penentu hala tuju ke mana organisasi itu akan dibawa.
Bukan mudah mengisi barisan kepimpinan, Setiap hierarki ada cabaran masing-masing, bermula daripada peringkat atasan.
Semakin tinggi peringkat kepimpinan besar juga tanggungjawab yang digalas.Malah, nama baik atau buruk setiap organisasi banyak bergantung kepada siapa pemimpin dan kerenah pemimpin berkenaan.
Ini bermakna, apabila menyandang jawatan tinggi dalam pimpinan organisasi, pemimpin berkenaan patut menjaga nama baik dan tingkah laku, apatah lagi jika dipilih secara demokrasi kerana harapan ahli atau subordinate banyak bergantung kepada pemimpin berkenaan.
Hubungan antara barisan kepimpinan juga perlu baik supaya imej dan reputasi organisasi sentiasa elok dipandang orang ramai.
Silap tingkah laku ketua atau pemimpin akan memberi imej buruk kepada organisasi dan lama kelamaan boleh menghancurkan dan membawa nama busuk pertubuhan tersebut.
Sebab ada pepatah Cina menyebut ikan yang membusuk bermula daripada kepala.
Demikian pepatah berkenaan mengungkapkan pentingnya pemimpin nombor satu. Namun terdapat banyak kes organisasi rosak dan imejnya tercalar kerana berlaku hubungan dingin atau keretakan antara pemimpin nombor satu dan nombor dua.
Puncanya keretakan banyak dan kadangkala kompleks. Kadang kala berpunca daripada dakwaan ‘lawan tauke’ atau kewujudan puak-puak dalam organisasi dan akibat tingkah laku mencucuk atau mengata keburukan masing-masing.
Masalah ini lebih besar apabila organisasi berkenaan menonjol atau memegang tampuk kuasa. Di negara ini, kebanyakan pergeseran dan perpecahan atau keretakan dalam pertubuhan melibatkan parti politik.
Parti politik seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara parti politik utama yang pernah menjadi kerajaan.
Rakyat Malaysia menjadi saksi betapa pertubuhan pertubuhan politik utama tanah air ini berdepan ujian cabaran akibat krisis kepimpinan utama, malah ada yang menggegarkan kerajaan.
Ada pertubuhan politik ini berdepan krisis kepimpinan serius.
Lihat sahaja apabila Tun Abdul Ghafar Baba yang menjadi Timbalan Presiden UMNO, partinya diuji dengan krisis perebutan kerusi nombor dua parti yang akhirnya beliau tidak mengekalkan jawatan tersebut pada satu993.
Hal yang sama berlaku apabila Tun Musa Hitam menjadi orang nombor dua parti dan kemudian meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Pergolakan bermula di sini hingga membawa kepada konflik dalaman. Ketika ini banyak gelombang kecil berlaku dalam parti-parti politik hanya kerana melibatkan isu orang nombor dua. Paling tidak boleh dilupakan krisis yang berlaku pada 1998, apabila orang nombor dua dalam parti disingkirkan atas tuduhan tertentu.
Siapa pun isunya, tetap ada pantang larangnya apabila menjadi orang nombor dua. Jangan melawan arus, jangan memandai-mandai , jangan mudah menyanggah keputusan majoriti dan juga ketua.
Bijak sekali pun orang nombor dua, jangan mendahului orang nombor satu. Minta pendapat atau pandangan, jangan kebijakan mengatasi kewarasan da njangan pula kewarasan dibunuh oleh nafsu tidak sabar.
Berdasarkan sejarah, krisis antara pemimpin nombor satu dan nombor dua berlaku ketika organisasi tersebut berkuasa.
Dalam arena politik Malaysia, selain kes melibatkan UMNO yang mengorbankan orang nombornya dua kali kerana ada isu tertentu, banyak parti politik lain tidak ada krisis kerana orang nombor dua tidak mempunyai sikap yang disebutkan.
Bersatu mengambil pendekatan harmonis menyelesaikan kedudukan orang nombor dua apabila menukar tanpa perlu mengundi atau buat pemilihan.
Pemimpin nombor dua pula Pas memilih untuk bercakap secara diplomasi apabila ditanya mengenai kesediaannya mengambil tempat orang nombor satu.
Pemimpin nombor dua Parti Amanah tidak begitu menonjol seakan-akan menyelamatkan parti daripada berlakunya isu kepimpinan. Begitu juga beberapa parti di Sabah yang tidak menonjolkan sangat orang nombor duanya, malah tidak begitu dikenali.
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang kini diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Kerjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup juga mengambil pendekatan tidak begitu menonjolkan pemimpin orang nombor dua.
Bagaimanapun senario berbeza Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak yang tidak menonjolkan sangat pemimpin nombor dua.
Memang sukar menjadi orang nombor dua , sesukar mencari siapa orang nombor dua yang sesuai atau berkelayakan. Begitu juga parti Warisan Sabah (Warisan) yang sehingga kini tidak menonjolkan sangat pemimpin nombor duanya. Ada tapi tidak menonjol.
Ketika ini, rentetan pemilihan parti yang diadakan sebelum ini, isu orang nombor dua, masih menghantui PKR.
Kalau gagal apa akan berlaku. Keluar organisasi? Untuk apa? tubuh organisasi baharu?
Bagi Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, beliau melihat peranan nombor dua dalam parti atau pentadbiran negara dari satu sudut yang lain.
Beliau yang juga Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, berkata, pemimpin nombor dua dalam parti atau organisasi berperanan penting bagi membantu pemimpin nombor satu. Jawatan tersebut perlu dilihat sebagai institusi yang menjadi lubuk idea dan pemacu penggerak kepada organisasi atau pentadbiran negara. “Orang nombor dua ini memainkan peranan
sebagai penstabil dalam organisasi atau pentadbiran negara bukan sebagai pencetus doktrinisasi memberontak.
Mereka berperanan sebagai ketua barisan penasihat yang memberi idea kepada pemimpin atasan memastikan suburnya pemikiran strategik berkaitan sosio ekonomi, penggerak hala tuju memastikan kejituan strategik pemikiran perang saraf dan membendung pergerakan tidak sihat dalam organisasi atau kepimpinan
Kata Noor Nirwandy pembudayan berterusan perlu dirancang oleh pemimpin nombor dua dari segi ideologi.
Beliau mungkin merujuk kepada kaedah pemilihan jawatan presiden di beberapa negara yang mengamalkan sistem pemerintahan republik. Kaedah ini jelas menunjukkan peranan orang nombor dua kerana pemilihan presiden adalah bersekalikan dengan pemilihan naib presiden. Jika gandingan itu menang, calon naib presiden akan membantu presiden dalam pemerintahan negara.
Itu pun jawatan naib presiden yang disandang tidak menjamin orang nombor dua itu akan menaiki takhta nombor satu. Bekas Presiden Filipina Gloria Macapagal‑Arroyo sebagai contoh merupakan naib presiden pada 1998 hingga 2001 di bawah pentadbiran Joseph Estrada tetapi kemudiannya menjadi presiden bermula 2001 hingga 2010 selepas menang pertandingan jawatan tersebut. Kes berbeza bagi seorang naib presiden Amerika, Richard
Nixon yang menjadi orang nombor dua kepada Dwight D. Eisenhower, tetapi hanya beberapa tahun kemudian barulah menduduki jawatan presiden, Ini berbeza dengan tiga naib presiden iaitu John Adams, Lyndon B.
Johnson dan Thomas Jefferson yang menjadi presiden kemudiannya.
Kamala Harris yang pernah menjadi naib presiden kepada Joe Biden pun gagal merebut jawatan tersebut apabila menentang Donald Thrump.
Nasib berbeza dengan perdana menteri kita sekarang yang pernah menjadi orang nombor dua tetapi akhirnya rezeki berpihak kepada beliau dua tahun lepas selepas mengharungi pelbagai ranjau dalam sejarah kepimpinannya.
Iya, orang nombor dua perlu menjadi pejuang sekurang-kurangnya untuk mempertahankan idealisme nya. Berjuang tapi jangan melawan arus, biar pun untuk menegakkan prinsip dan idealisme. Barangkali cara tersebut lebih selamat. Dalam hal ini saya respect kepada Tuan Ibrahim Tuan Man dan sikap budiman Faizal Azumu. Bagi yang menjadi nombor dua dalam institusi perkahwinan memang sukar berada dalam kedudukan tersebut, sebab adanya elemen perkongsian itu tapi bukan untuk dibincang di sini. Perlu dalam forum lain. – UTUSAN










