TANJUNG MALIM: Seramai 269 penduduk Kampung Orang Asli Pos Tibang, Slim River dekat sini teruja apabila perkampungan itu merupakan yang pertama di negara ini menggunakan teknologi hijau mesra alam, bunyi dan bau untuk menjana elektrik iaitu Reaktor Hidrogen Pepejal atau HyPEReactor.
Projek perintis hasil cetusan inovatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menelan kos sebanyak RM2 juta itu membolehkan penduduk tidak lagi bergantung pada genset yang menggunakan minyak diesel untuk menjana bekalan elektrik bagi keperluan harian.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sistem HyPEReactor itu membolehkan kawasan-kawasan pedalaman yang sukar diakses mendapat akses elektrik dengan lebih pantas.
“Reaktor ini boleh menjana elektrik sebanyak 5 kilowatt jam (kWh) yang sesuai untuk 10 hingga 12 buah rumah. Kita sekarang gunakan untuk gereja.
“Penggunaan itu tidak tinggi jadi banyak lebih, penduduk-penduduk kampung boleh guna (gereja) untuk mengecas telefon,” katanya.
Beliau merasmikan Majlis Elektrifikasi Lestari Melalui HyPEReactor di Pos Tibang, Slim River di sini semalam.
Program turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Sistem penjana hidrogen modular ini menggunakan natrium borohidrida (NaBH4) yang membolehkan penghasilan hidrogen dengan pantas berdasarkan keperluan dan penyimpanan hidrogen dalam bentuk pepejal yang mengurangkan keperluan cecair penyimpanan bertekanan tinggi.
Setakat ini, Kampung Pos Tibang menjana elektrik menggunakan genset yang menggunakan minyak diesel. Difahamkan bekalan elektrik di perkampungan itu akan bakal disalurkan dalam beberapa bulan lagi.
Lih Kang berkata, teknologi itu bersifat stabil dan selamat dan bukannya seperti reaktor nuklear seperti anggapan sesetengah pihak.
“Sistem HyPEReactor ini digunakan tanpa kebergantungan kepada diesel selain boleh dialihkan ke lokasi lain.
“Paling penting ia dibangunkan menggunakan teknologi tempatan, membuka potensi kepada model perniagaan baharu untuk elektrifikasi luar bandar,” katanya.
Bagi Ketua Kampung Orang Asli Pos Tibang, Yok Chicer, penggunaan teknologi hidrogen itu membolehkan mereka menikmati bekalan elektrik tanpa perlu menggunakan minyak diesel lagi.
“Ini amat membantu mengurangkan beban kami yang bergantung pada genset sekian lama.
“Pendapatan kami tidak seberapa kerana majoriti bekerja kampung dengan menoreh getah selain mengutip hasil hutan sebagai punca rezeki,” katanya. – UTUSAN











