Tasik Taiping boleh kering jika cuaca panas berterusan

Tasik Taiping boleh kering jika cuaca panas berterusan

KEADAAN sebuah tasik di Taman Tasik Taiping yang surut berikutan cuaca panas. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Selain paras air di Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang surut akibat cuaca panas, tasik di kawasan rekreasi terkenal di bandar ini, Taman Tasik Taiping juga mengalami penyusutan.

Ini menimbulkan kebimba­ngan dalam kalangan penduduk bahawa tasik di taman rekreasi itu mungkin kering seperti yang berlaku pada hujung Julai tahun lalu, sehingga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli membuat tinjauan ke kawasan tasik berusia lebih 120 tahun itu.

Tinjauan Utusan Malaysia Taman Tasik Taiping semalam mendapati tasik yang terdapat di taman rekreasi tersebut masih mengandungi air namun sebuah tasik dilihat sudah mulai surut, kesan daripada cuaca panas.

Seorang peniaga, Mohamad Majis Hamid, 69, berkata, sejak kebelakangan ini hujan di bandar ini semakin kurang, bukan lagi setiap hari seperti mana kebiasaan.

Menurutnya, cuaca panas sejak beberapa minggu lalu mula dirasai kesannya apabila hujan semakin kurang dan air tasik di Taman Tasik Taiping mulai surut walaupun belum mencapai tahap kering kontang.

Katanya, walaupun Taiping dikenali sebagai ‘bandar hujan’ namun kawasan ini tidak terkecuali daripada terkesan dengan musim kemarau ketika ini.

“Keadaan tasik masih terdapat air namun semakin surut. Kalau panas berterusan, tidak mustahil tasik boleh kering se­perti yang berlaku sebelum ini.

“Memang rasa risau sebab kesan cuaca panas telah menyebabkan Tasik Bukit Merah di Bagan Serai semakin menge­ring. Kami harap keadaan ini tidak berpanjangan dan keadaan di Tasik Bukit Merah tidak berlaku di sini,” katanya.

Seorang pengunjung, Asraff Razak, 41, berkata, ada beberapa bahagian di tasik itu akan lebih cepat surut dan kering jika tiada hujan untuk tempoh yang lama.

“Keadaan ini sudah tentu membimbangkan kerana kesan cuaca panas turut dirasai di bandar ini yang terkenal sebagai ‘bandar hujan’, tetapi akibat cuaca panas, air tasik semakin menurun,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, beberapa kawasan di Taman Tasik Taiping kering kontang sehingga orang ramai boleh berjalan di dasarnya dan keadaan tanah merekah sehingga menampakkan hidupan seperti siput yang mati dan menyifatkan kejadian seumpama itu belum pernah berlaku.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×