PETALING JAYA: Isu merobohkan sebahagian tapak perniagaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Desa Pandan perlu diselesaikan dengan situasi menang-menang.
Ketua Penerangan, Gabungan Penjaja Kecil Melayu Melayu Malaysia (GPKMMM), Datuk Mohamad Abdullah berkata, kontroversi yang berlaku itu juga perlu dijadikan sebagai pengajaran buat semua pihak terlibat termasuk golongan peniaga.
Jelasnya, segala tindakan DBKL adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) namun pihak berkuasa perlu memastikan kesemua peniaga terlibat sudah mempunyai ruang niaga ganti di lokasi baharu.
“Di tengah-tengah isu kos sara hidup dan masalah ekonomi yang membelenggu rakyat, tindakan penguatkuasaan DBKL itu dilihat tidak ‘cantik’ pada pandangan rakyat.
“Sekiranya peniaga perlu berpindah, DBKL perlu memastikan lokasi paling bersesuaian untuk mereka berniaga dan dapat mencari rezeki seperti biasa. DBKL perlu memahami jiwa peniaga dan memastikan limpahan manfaat pembangunan itu dirasakan semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan DBKL mahu merobohkan sembilan gerai di Desa Pandan bagi memberi laluan kerja pelebaran Jalan 2/76 dipersoal meskipun memiliki lesen perniagaan yang sah.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, DBKL akan mengadakan sesi libat urus lanjut mengenai kerja-kerja menaik taraf jalan di situ termasuk bertemu sembilan peniaga terlibat dalam masa terdekat.
Mohamad yang juga Yang Dipertua, Penjaja Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam pada itu berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan perlu melibatkan libat urus bersama wakil rakyat setempat.
“Sebelum mengambil sebarang tindakan, pihak berkuasa perlu memaklumkan kepada wakil rakyat kerana mereka lebih memahami situasi penduduk dan masalah dapat diselesaikan secara baik,” katanya.-UTUSAN.










