PETALING JAYA: Usaha membina institusi kehakiman yang bebas tidak seharusnya terhenti setakat pelantikan individu semata-mata, sebaliknya perlu diiringi dengan pembaharuan menyeluruh terhadap proses pelantikan dan pentadbiran kehakiman.
Sembilan Ahli Parlimen PKR berkata, antaranya termasuk memuktamadkan pelantikan 31 kekosongan hakim secepat mungkin bagi memastikan kelancaran sistem kehakiman dan menjamin proses pelantikan berasaskan merit dan kekananan demi menjaga keadilan kepada hakim-hakim yang berkhidmat lama.
“Selain itu, memastikan lantikan hakim-hakim mengikut proses yang telus selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam urusan pelantikan hakim.
“Pelantikan ini juga diharap menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat SPK termasuk dakwaan cubaan mempengaruhi keputusan kehakiman melibatkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan sembilan Ahli Parlimen PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen, Rodziah Ismail, Zahir Hassan, Bakhtiar Wan Chik, Syed Ibrahim Syed Noh, S. Kesavan dan Onn Abu Bakar.
Mereka berkata, kemelut pelantikan kepimpinan badan kehakiman kebelakangan ini menunjukkan perlunya reformasi untuk mengukuhkan lagi proses lantikan hakim supaya perkara itu tidak berulang.
“Diharapkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memandang pelantikan hakim itu telah selesai selagi penambahbaikan kepada proses lantikan badan kehakiman tidak dibentangkan kepada rakyat.
“Antara cadangan reformasi dikemukakan termasuk mengehadkan kuasa Perdana Menteri dalam menolak senarai calon daripada SPK dan mewajibkan alasan rasmi dikemukakan dan melantik secara automatik wakil badan guaman dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak ke dalam JAC untuk mengurangkan dominasi Eksekutif,” katanya.
Katanya, ia juga termasuk melibatkan Parlimen dalam pengesahan pencalonan hakim sama ada melalui pendengaran pengesahan atau mekanisme undi Parlimen.-UTUSAN











