BESUT : Kerajaan digesa segera melaksanakan Titah Adendum kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau diberi pembelaan sewajarnya mengikut saluran perundangan yang betul.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pergerakan itu memberi sokongan penuh terhadap Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang memperkenan supaya Najib dibenar menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Kata beliau, titah berkenaan sudah sah wujud dan kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk melaksanakannya.
“Datuk Seri Najib adalah mantan Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada negara seharusnya beliau diberi pembelaan sewajarnya mengikut saluran perundangan yang betul.
“Beliau telah menjalani hukuman hampir tempoh tiga tahun dalam tahanan di penjara dan sewajarnya layak diberi pertimbangan untuk melaksanakan perintah parol apabila berkelakuan baik serta lain-lain, ” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut di Gong Kemuntong, di sini, hari ini.
Terdahulu sebanyak 160 bahagian UMNO seluruh negara mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera melaksanakan Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan di rumah.
Sementara itu, Norliza berkata, UMNO perlu memperkasa kembali strategi kempen menjadi pemberi solusi kepada masyarakat.
Katanya, penggunaan media sosial perlu dimanfaatkan sebagai saluran utama penyampaian pelbagai maklumat kepada masyarakat selain daripada melakukan kunjungan lapangan.
“Jika dulu kita boleh berceramah sampai dua jam tetapi sekarang ini video pendek 30 saat sahaja kita boleh meyakinkan pengundi kita mengenai parti kita. Jadi amat penting untuk kita menjawab persoalan atau fitnah yang dilemparkan pada parti kita dan cara kita menjawab dengan lebih berkesan menggunakan media sosial,” katanya. – UTUSAN











