Geran UMT RM3 juta lonjak penyelidikan, inovasi 

Geran UMT RM3 juta lonjak penyelidikan, inovasi 

PENERIMA anugerah bergambar pada Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi (MAPI) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2025 di Kuala Nerus, Terenganu. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memacu kecemerlangan sebagai institusi peneraju dalam bidang kelautan dan sumber akuatik menerusi pelbagai inisiatif strategik yang mendokong aspirasi negara ke arah pembangunan berteraskan ilmu dan inovasi.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, komitmen universiti terhadap agenda nasional selaras dengan tujuh Fokus Utama dan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Antara inisiatif berimpak tinggi ialah pelaksanaan Dana Khas di bawah Teras Penyelidikan dan Inovasi, berjumlah antara RM1.5 juta hingga RM3 juta, yang bertujuan memperkukuh aktiviti penyelidikan serta merangsang penghasilan inovasi dan pengkomersialan hasil kajian.

“Dana tersebut disalurkan melalui pelbagai skim geran dalaman seperti Strategic Research Grant, TAPE-RG, IPRG, Matching Grant 1+3, dan ICE Incubator, yang menyokong budaya penyelidikan mampan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penyelidikan dan Inovasi (MAPI) 2025 di sini.

Beliau berkata, pencapaian UMT di peringkat antarabangsa turut mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikannya yang mapan dan berstrategi.

“UMT kini berada dalam kelompok 801–850 universiti terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2026, selain menduduki tangga 251–300 dalam THE Young University Rankings 2024.

“Lebih membanggakan, UMT turut tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia dan 20 terbaik Asia dalam bidang Marine and Freshwater Biology menurut penarafan U.S. News & World Report. Ini membuktikan keunggulan kita dalam bidang teras universiti,” katanya.

Majlis MAPI 2025 menyaksikan penyampaian 786 anugerah kepada 406 penyelidik cemerlang UMT dalam empat kategori utama, iaitu Geran Penyelidikan, Penerbitan, Inovasi, dan Anugerah Terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×