PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak tidak membuat spekulasi dan tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan integriti institusi kehakiman dan Raja-Raja Melayu.
Baginda bertitah, pelantikan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Malah tegas baginda, ia dibuat selepas melalui proses rundingan dan nasihat seperti diperuntukkan undang-undang.
Sebab itu baginda meminta mereka yang menyuarakan pandangan dalam isu ini perlu berhati-hati dan bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan kerana ia membabitkan pelantikan jawatan penting dalam badan kehakiman negara.
Baginda menegaskan, pandangan atau dakwaan tanpa fakta sahih akan mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Semua pihak diseru supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor semalam.
Titah baginda, pelantikan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman perlu dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 122B yang menetapkan bahawa pelantikan hanya boleh dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Beta menyokong penuh kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menjelaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan jawatan kehakiman kanan lain hanya boleh dibuat selepas proses rundingan dan nasihat seperti diperuntukkan Perlembagaan,” titah baginda.
Proses pelantikan tersebut, menurut baginda, perlu dijalankan secara telus, berhemah dan berpaksikan kepada prinsip keadilan demi memelihara kedaulatan undang-undang negara. Baginda turut mengingatkan agar pelantikan itu tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur tekanan politik atau kepentingan sempit.
Kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 30 Jun lalu telah mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk polemik awam mengenai kelambatan pengisian jawatan berkenaan.
Majlis Peguam Malaysia turut mengadakan perarakan dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi mendesak agar jawatan berkenaan diisi segera, selain menuntut ketelusan dalam proses pelantikan hakim-hakim atasan yang lain.
Gesaan tersebut turut disertai kebimbangan bahawa kelewatan ini akan membuka ruang kepada persepsi campur tangan politik dan pelantikan individu yang diragui integritinya, yang akhirnya boleh menggugat prinsip pengasingan kuasa serta kedaulatan undang-undang.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap naratif yang boleh melemahkan kedudukan institusi kehakiman, justeru menggesa semua pihak agar berfikiran rasional dan memberi ruang kepada proses pelantikan dijalankan mengikut lunas perlembagaan.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung pengganti Ketua Hakim Negara meskipun Majlis Raja-Raja telah bersidang. Baginda menegaskan bahawa apa jua keputusan harus dilaksanakan dengan cermat, berpandukan kepada keadilan, kebijaksanaan serta keluhuran undang-undang negara. – UTUSAN










