(Siri 1)
Sekalipun sambutan Maal Hijrah diraikan di seluruh dunia pada bulan Muharam, namun ini dengan mengambil sempena bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat antara Saidina Umar dengan para sahabat Rasulullah SAW pada zaman pemerintahan beliau.
Adapun peristiwa hijrah Rasulullah SAW, detik penting ini berlaku pada bulan Safar tahun pertama hijrah seperti yang dibahaskan dalam tulisan ini.
BERMULA DENGAN PENGISLAMAN 6 ORANG YATHRIB
Pada 7 Safar tahun ke-2 sebelum hijrah bersamaan 10 September 620 Masihi, Rasulullah SAW mengambil peluang tersebut yang merupakan waktu para jemaah haji daripada pelbagai bangsa Arab berada di Mina.
Detik itu mengikut aturan golongan Quraisy telah ditukar kepada 7 Zulhijjah.
Ketika itu golongan Quraisy dianggap berhak oleh masyarakat Arab untuk menukar-nukar tarikh mengikut keinginan mereka sendiri.
Amalan menukar aturan bulan ini dinamakan al-Nasi’ yang diharamkan oleh Allah dalam Surah al-Taubah ayat ke-37: “Sesungguhnya al-Nasi’ adalah tambahan bagi kekufuran”.
Setelah Rasulullah SAW pergi dari khemah ke khemah, akhirnya baginda bertemu dengan enam orang daripada suku al-Khazraj yang merupakan penduduk Yathrib (nama lama bagi Madinah).
Baginda menjelaskan tentang Islam kepada mereka dan memperkenalkan diri sebagai rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah kepada manusia.
Setelah mendengar penerangan itu, enam individu berkenaan akhirnya memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW.
Hal itu kerana mereka yang tinggal bersama masyarakat Yahudi di Yathrib sudah biasa mendengar daripada golongan Yahudi mengenai kemunculan nabi akhir zaman.
Mereka yang terawal memeluk Islam itu ialah As ‘ad bin Zuroroh (Banu Malik bin al-Najjar), Saidina ‘Awf bin al-Harith bin ‘Afro (Banu Malik bin al-Najjar), Saidina Rofi’ bin Malik (Banu Zuroyq), Saidina Qutbah bin ‘Amir bin Hadidah (Banu Salimah), Saidina ‘Uqbah bin ‘Amir (Banu Harom) dan Saidina Jabir bin ‘Abdulloh bin Ri’ab (Banu ‘Ubayd bin ‘Adiyy bin Salimah).
Pengislaman enam tokoh Yathrib ini adalah lembaran baru kepada pengislaman beramai-ramai golongan al-Ansar selepas itu.
PERJANJIAN ‘AQABAH PERTAMA
Setelah setahun dakwah Islam disebarkan ke Yathrib melalui usaha jitu enam tokoh terawal itu, maka pada musim haji yang seterusnya, 12 orang Yathrib yang memeluk Islam mengadakan satu pertemuan dengan Rasulullah SAW.
Lima daripadanya yang memeluk Islam sebelum ini kecuali Saidina Jabir bin ‘Abdulloh bin Ri’ab yang tidak hadir pada pertemuan kali ini diikuti tujuh orang baru yang memeluk Islam.
Mereka ialah Saidina Mu ‘adz bin al-Harith bin ‘Afro (Banu Malik bin al-Najjar – suku al-Khazraj), Saidina Dzakwan bin ‘Abdu Qoys (Banu Zuroyq – suku al-Khazraj), Saidina ‘Ucadah bin al-Somit (Banu ‘Awf bin ‘Amr bin ‘Awf – suku al-Khazraj), Saidina Yazid bin Tha‘labah (Banu ‘Awf bin ‘Amr bin ‘Awf – suku al-Khazraj), Saidina al-‘Abbas bin ‘Ubadah bin Nadhlah (Banu Salim bin ‘Amr bin ‘Awf – suku al-Khazraj), Saidina Abu al-Haytham: Malik bin al-Tayhan (Banu ‘Abdul Ash-hal – suku al-Aus) dan Sayyidina ‘Uwaym bin Sa‘idah Qoys (Banu ‘Amr bin ‘Awf bin Malik – suku al-Aus).
Pertemuan dengan Rasulullah SAW yang akhirnya dikenali dalam lipatan sejarah sebagai Perjanjian al-‘Aqabah Pertama ini berlaku pada Isnin 7 Safar, setahun sebelum hijrah bersamaan 31 Ogos 621 Masihi.
Mengikut aturan Quraisy berdasarkan amalan al-Nasa’; tarikh pada hari itu adalah 7 Zulhijjah.
Al-Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari merekodkan isi kandungan Perjanjian al-‘Aqabah Pertama yang lebih menjuruskan kepada amalan akhlak-akhlak mulia iaitu tidak menyekutukan Allah, mencuri, berzina, membunuh anak-anak, membuat penipuan dan membantah segala perbuatan makruf.
Setelah perjanjian ini berlaku, 12 orang berkenaan pulang ke Yathrib dengan membawa seorang sahabat Rasulullah SAW dari Makkah, bernama Saidina Mus‘ab bin ‘Umayr.
Beliau diutuskan ke Yathrib bagi memandu kaum muslimin di sana dalam melaksanakan ibadah dan pengajian al-Quran al-Karim.
BANGSA YAHUDI TAHU KEDATANGAN NABI AKHIR ZAMAN
Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, pengislaman enam orang terawal dari Yathrib adalah sangat berkaitan dengan maklumat kedatangan nabi akhir zaman yang sering disebut oleh masyarakat Yahudi kepada masyarakat Arab di Yathrib.
Ini bukanlah satu perkara yang pelik kerana kitab suci Taurat dan Injil yang diwahyukan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa mengandungi berita kedatangan Nabi Muhammad SAW selaku rasul terakhir.
Kewujudan golongan Yahudi di Yathrib pada ketika itu sedangkan mereka bukan berasal dari Yathrib juga mempunyai kaitan dengan berita kedatangan Rasulullah SAW.
Ia bermula dengan kisah seorang raja dari Yaman, dikenali sebagai Tubba’ Pertama yang hidup 1,000 tahun sebelum kedatangan Rasulullah SAW.
Apabila Tubba’ Pertama sampai di Yathrib, para pendeta ahli kitab yang bersama-sama dengan baginda tidak mahu meninggalkan kota ini yang menjadi tempat hijrah nabi terakhir.
Mereka mahu menunggu kedatangan nabi akhir zaman di Yathrib untuk beriman dengan baginda.
Tatkala Tubba’ Pertama mengetahui berita kedatangan nabi mulia ini pada akhir zaman, baginda membina sebuah rumah untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW agar dapat didiami ketika sampai di Yathrib.
Raja itu turut melakarkan satu warkah cinta nan rindu bersulamkan keimanan kepada nabi.
“Kepada Muhammad bin ‘Abdullah: Nabi Allah, Rasul-Nya, penutup para nabi dan Sang Rasul [yang diutuskan oleh] tuhan sekalian alam. Daripada Tubba‘ Yang Pertama. ’Amma Ba‘d. Sesungguhnya saya telah beriman dengan anda dan [beriman] dengan kitab anda yang telah diturunkan ke atas anda. Saya adalah di atas [pegangan] agama anda dan sunnah anda. Saya telah beriman dengan tuhan anda dan tuhan segala sesuatu. Saya telah beriman dengan segala apa yang telah datang daripada tuhan anda yang berupa syariat-syariat Islam. Maka sekiranya saya dapat bertemu dengan anda, maka alangkah bahagianya. [Namun] sekiranya saya tidak [sempat untuk] bertemu dengan anda, maka syafaatkanlah saya dan janganlah lupakan saya pada hari Kiamat [nanti] kerana sesungguhnya saya adalah daripada umat anda [daripada golongan] yang terdahulu dan [daripada] pengikut-pengikut anda sebelum kedatangan anda. Saya adalah di atas [pegangan] agama anda dan agama ayahanda anda: ’Ibrohim ‘Alayh al-Salam. Bagi Allahlah segala perkara sebelumnya dan sesudahnya”.
Surat itu diberikan kepada ketua pendeta yang ingin tinggal di Yathrib untuk diserahkan kepada Rasulullah SAW.
Pendeta tersebut turut diminta untuk tinggal di rumah Rasulullah SAW selaku penjaga rumah.
Surat dan rumah tersebut terus diwarisi oleh keluarga pendeta itu sehinggalah beralih ke tangan Saidina Abu Ayyub al-Ansori yang merupakan zuriatnya.










