MUTAKHIR ini, media sosial dibanjiri dengan kisah seorang mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman. Beliau meninggal dunia bersama 14 pelajar UPSI yang lain dalam nahas di Gerik, Perak, pada 9 Jun yang lalu. Kematiannya mendapat perhatian ramai kerana terserlah pelbagai tanda kemuliaan yang Allah anugerahkan kepadanya kerana mencintai al-Quran.
Ini terbukti apabila beliau didapati meninggal dunia dengan al-Quran berada dalam pelukannya. Doktor dan pemandu van yang mengendalikan jenazahnya mengesahkan bahawa jenazahnya berbau harum yang tidak dapat digambarkan. Malah, setelah disemadikan, kuburnya juga semerbak dengan keharuman sehingga menarik ramai yang hadir untuk menziarahinya.
Kisah Nurly Shahirah seharusnya menjadi inspirasi buat kita dalam melakukan transformasi sikap terhadap al-Quran. Transformasi ini penting kerana al-Quran merupakan sumber utama untuk mendapat hidayah Allah yang dapat menyelamatkan kita dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Justeru, untuk melakukan transformasi ini, kita perlu bermula dengan menukar cara kita memandang al-Quran. Setiap individu Muslim perlu merasakan bahawa al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan khas kepada dirinya sebagai jalan untuk mendapat hidayah Allah. Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)
Setiap individu Muslim juga perlu merasakan bahawa ketika membaca al-Quran, Allah sedang bercakap dan menyampaikan pesanan kepadanya. Berhubung hal ini, Imam Hasan al-Basri pernah berkata yang bermaksud: “Jika engkau ingin Allah berbicara denganmu, maka bacalah al-Quran.”
Oleh itu, al-Quran tidak sepatutnya dibaca seperti buku karangan manusia. Sebaliknya, kalam Allah itu perlu dihayati dan diberi respon ketika membacanya. Contohnya, ketika membaca ayat tentang keindahan syurga, kita perlu berhenti sejenak dan berdoa kepada Allah agar memasukkan kita ke dalam syurga. Begitu juga ketika membaca ayat tentang kepedihan seksa neraka, kita perlu berdoa agar Allah menjauhkan kita daripada neraka. Bahkan, perbuatan ini merupakan sunnah Rasulullah di mana Huzaifah RA meriwayatkan bahawa:
“Apabila baginda Nabi SAW membaca ayat yang mengandungi tasbih, baginda bertasbih, apabila baginda membaca ayat yang mengandungi doa, baginda berdoa dan apabila baginda membaca ayat yang mengandungi permohonan perlindungan dengan Allah, baginda memohon perlindungan.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam melakukan transformasi sikap terhadap al-Quran, setiap individu Muslim perlu memberi keutamaan kepada al-Quran dalam aktiviti harian mereka. Al-Quran harus dilihat sebagai satu keperluan asas untuk meneruskan kehidupan, sama seperti keperluan makan, minum, tidur dan sebagainya. Al-Quran perlu diberi peruntukan masa yang khas setiap hari sebagai aktiviti rutin harian yang utama dan bukannya aktiviti untuk memenuhi masa kosong. Ini dapat dilakukan jika kita melihat al-Quran sebagai panduan hidup yang sangat penting untuk memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Justeru, al-Quran perlu dijadikan sahabat yang sangat kita kasihi ketika hidup di dunia. Ini kerana pada hari kiamat nanti, di saat semua manusia memerlukan seseorang yang dapat menemaninya, al-Quran akan datang sebagai sahabat.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Al-Quran akan menemui sahabatnya dalam bentuk lelaki berwajah cerah pada hari kiamat apabila kuburnya dibuka. Al-Quran akan bertanya kepadanya, “Adakah engkau mengenaliku?” Orang itu akan berkata, “Saya tidak mengenali engkau”. Al- Quran akan berkata, “ Akulah sahabatmu, Quran, yang telah menyebabkan kamu dahaga ketika panas dan membuat kamu bangun ketika malam.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam usaha melakukan transformasi sikap terhadap al-Quran, perasaan tidak layak mendapat hidayah Allah kerana tidak pandai membaca al-Quran perlu dibuang jauh-jauh. Sesungguhnya al-Quran diturunkan kepada semua umat Nabi Muhammad, tidak kira sama ada bangsa arab atau ’ajam (bukan arab) dan tidak kira sama ada individu terpelajar atau tidak. Allah memberi hidayah dan cahaya kepada sesiapa yang dikehendakiNya melalui al-Quran. Justeru, kita mendapati tidak sedikit dalam kalangan bukan Islam yang menitiskan air mata tatkala mendengar lantunan ayat-ayat al-Quran. Sedangkan mereka tidak memahaminya walaupun sepatah perkataan. Allah menyebut tentang perkara ini dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Al-Maidah: 15-16)
Malah, kita juga menyaksikan betapa ramai hamba Allah yang dahulunya bergelumang dengan dosa berubah sepenuhnya menjadi insan yang soleh hanya kerana tersentuh oleh ayat-ayat al-Quran. Contohnya, Fudhayl bin ‘Iyadh yang berubah daripada seorang perompak menjadi wali Allah yang terkenal sehingga digelar ’Abid al-Haramain’ (Ahli ibadah di dua Tanah Haram). Perubahan ini berlaku setelah beliau mendengar ayat al-Quran yang bermaksud:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?” (Al-Hadid: 16)
Oleh itu, perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap al-Quran perlu ditanam dalam diri setiap individu Muslim di samping keinginan yang kuat untuk mendapatkan hidayah Allah melaluinya. Semakin banyak al-Quran dibaca, difahami dan dipraktikkan, semakin dekat seseorang itu dengan Allah.
Allah mengangkat darjat orang yang mendampingi al-Quran sebagai ’ahli keluargaNya’. Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasul menjawab, “Para ahli Al Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihanNya”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Inilah yang berlaku kepada Nurly Shahirah yang dimuliakan oleh Allah sehingga kisahnya tersebar ke seluruh tanah air. Sikapnya yang sentiasa membaca, menghafaz dan menulis ayat al-Quran sepanjang hidupnya harus menjadi inspirasi kepada kita dalam melakukan transformasi terhadap al-Quran.
Dengan pertambahan usia, kita perlu berusaha untuk memperbaiki hubungan kita dengan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran mestilah diletakkan pada tempat yang tingggi di hati kita dan perlu dipegang dengan sekuatnya. Ini kerana balasan yang Allah sediakan bagi mereka yang mencintainya sangatlah lumayan. Ini terbukti dalam kisah Nurly Shahirah. – UTUSAN
DR. Syed Sultan Bee Packeer Mohamed ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










