SABAK BERNAM: Kawasan pusat perniagaan Sabak Bernam Waterfront di sini, yang dulunya menjadi tumpuan kini lengang dengan hanya beberapa premis masih kekal beroperasi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hanya empat daripada lebih 20 unit kedai beroperasi, antaranya kedai gunting rambut, butik pengantin, aksesori helmet dan kedai membaiki telefon bimbit.
Pekerja kedai gunting rambut, Mohd. Arif Hishamuddin, 24, berkata, kebanyakan unit kedai di lokasi itu kosong dan tidak disewa sejak sekian lama dan hanya tiga atau empat unit masih beroperasi dan keadaan itu berlaku sejak sekian lama.
“Keadaan menjadi lebih teruk sejak pandemik Covid-19 apabila banyak kedai yang dibuka sebelum ini terpaksa gulung tikar. Penyelenggaraan juga teruk dengan keadaan lantai pecah dan tandas hanya boleh digunakan untuk membuang air kecil,” katanya.
Mohd. Arif yang bekerja lebih setahun lalu berkata, kawasan berkenaan juga gelap pada waktu malam termasuk di kawasan parkir dan hanya lampu koridor premis berfungsi.
Pekerja kedai telefon bimbit, Addin Subhi, 21, berkata, kea-daan di kawasan itu semakin tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.
“Dulu, Sabak Bernam Waterfront meriah namun menjadi sunyi selepas banyak kedai menghentikan operasi perniagaan. Kalau ada kedai makanan pun memang kebiasaannya tidak bertahan lama,” katanya.
Sementara itu, pekerja pembersihan, Razwan Sabar, 43, berkata, kawasan itu yang sepatutnya menjadi pusat pelancongan menarik, kini lengang.
“Lokasi itu berpotensi namun seperti terbiar dan mungkin kurangnya promosi menyebabkan ramai enggan ambil risiko untuk berniaga.
“Selain itu, belakang kawasan ini dibimbangi menjadi habitat haiwan liar dan mengundang bahaya terutama pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) memaklumkan akan memberi maklum balas mengenai perkara berkenaan dalam tempoh terdekat. – UTUSAN











