DI tengah hiruk-pikuk gelanggang politik tanah air, rakyat mula tertanya-tanya, adakah mereka benar-benar dihargai, atau sekadar bidak dalam permainan kuasa ahli politik? Semakin hari, kemuakan terhadap drama politik yang tiada kesudahan kian terasa, apabila keputusan segelintir elit politik dilihat lebih mengutamakan kepentingan diri dan kelompok daripada amanah rakyat.
Rakyat yang sebelum ini mengundi dengan penuh harapan agar kehidupan mereka terbela, kini hanya mampu melihat dari jauh bagaimana mandat itu dipermainkan sesuka hati.
Realitinya, suara rakyat sering kali tenggelam. Isu kenaikan harga barang, ketidakcukupan peluang pekerjaan, tekanan ekonomi dan cabaran hidup harian jarang sekali mendapat perhatian yang tuntas. Saban hari rakyat berhempas pulas mencari sesuap nasi, namun di atas sana, tumpuan masih pada bagaimana mahu mengekalkan kuasa, bukan bagaimana mahu membela nasib rakyat terbanyak.
Keadaan ini menimbulkan rasa kecewa dan tidak percaya. Anak muda pula mula mempersoalkan keberkesanan sistem demokrasi.
Namun begitu, harapan tidak boleh padam sepenuhnya. Rakyat masih memiliki kuasa untuk memilih dan bersuara. Rakyat juga mempunyai kuasa untuk menolak mereka yang tidak jujur dan tidak amanah.
Negara ini bukan milik ahli politik semata-mata. Ia milik semua. Rakyat yang bekerja keras membina ekonomi, membayar cukai, mendidik anak-anak dan memelihara keamanan. Mereka layak mendapat pemimpin yang jujur, telus dan berjiwa rakyat, bukan pemimpin yang menjadikan mereka sebagai alat untuk bermain strategi kuasa.
Persoalan adakah kita rakyat yang sebenar atau sekadar mainan ahli politik bukanlah sekadar soalan retorik. Jika rakyat terus membiarkan diri dipermainkan, maka sandiwara politik akan terus berulang.
Rakyat perlu bangkit dengan kesedaran dan prinsip. Dengan ini, tiada siapa pun yang berani mempermainkan kuasa rakyat lagi.-UTUSAN
AZIZUL ASYRAF
Kuala Lumpur










