KUALA LUMPUR: Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) menyifatkan pelaksanaan skim Rakan KKM sebagai dasar ‘songsang’, berisiko tinggi serta membuka jalan kepada penswastaan secara senyap sistem kesihatan awam negara.
Presiden GEM, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, langkah membenarkan pesakit membayar untuk mendapat akses rawatan lebih cepat di hospital kerajaan merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip asas kesihatan sejagat, iaitu bahawa rawatan seharusnya diberikan mengikut keperluan perubatan, bukan kemampuan kewangan.
Katanya, pelaksanaan skim itu menandakan satu peralihan yang membimbangkan daripada model perkhidmatan awam berasaskan hak kepada model pasaran yang mengutamakan kelebihan kewangan.
“Rakan KKM bukan reformasi. Ia adalah penswastaan yang diselindungkan di sebalik bahasa kemajuan. Ia menjual keutamaan dalam sistem yang sepatutnya melindungi golongan paling terpinggir, bukan mereka yang paling kaya.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, program Rakan KKM bukan satu bentuk penswastaan seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya ia bertujuan mempercepatkan rawatan bagi kes-kes elektif di hospital kerajaan.
Katanya, inisiatif berkenaan tidak melibatkan sebarang pembiayaan oleh pihak swasta, sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menyokong sistem kesihatan awam negara.
Mengulas lanjut, Armin Baniaz berkata, sistem kesihatan awam yang adil dan berkesan perlu meletakkan keutamaan klinikal melebihi pertimbangan komersial.
“Sekiranya skim ini dilaksanakan tanpa pengawalseliaan yang ketat, tanpa ketelusan dan tanpa rangka kerja keadilan sosial yang jelas, Rakan KKM boleh menjadi permulaan kepada pengkomersialan sistem kesihatan yang lebih meluas.
“Akhirnya, inisiatif ini akan meminggirkan komuniti yang paling memerlukan perlindungan khususnya golongan marhaen,” katannya.
GEM turut membandingkan pendekatan Malaysia dengan model dual practice di negara seperti United Kingdom, Australia dan Perancis, di mana sistem seumpama ini hanya diperkenalkan selepas infrastruktur kesihatan awam diperkuatkan terlebih dahulu melalui pemantauan bebas, pengasingan sumber tegas serta tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.
Sebaliknya, Malaysia kata beliau, masih bergelut dengan pelbagai cabaran sistemik yang serius.
“Kementerian Kesihatan sendiri telah mengakui bahawa negara menghadapi kekurangan lebih 11,000 pakar perubatan, manakala hospital awam berdepan masalah fasiliti usang, beban kerja yang berlebihan, dan kesesakan melampau.
“Dalam keadaan rapuh ini, memperkenalkan model rawatan berbayar seperti Rakan KKM hanya akan mengalihkan masa dan tumpuan pakar kesihatan awam kepada pesakit yang mampu membayar, lalu menjejaskan akses dan kualiti rawatan untuk majoriti rakyat,” ujarnya.
GEM memberi amaran pelaksanaan Rakan KKM tanpa perlindungan yang bermakna akan membawa risiko seperti ketidaksamarataan sistemik, di mana kelajuan rawatan ditentukan oleh kekayaan bukan keperluan kesihatan.
Selain itu, dalam aspek pengalihan sumber awam, doktor akan memberi keutamaan kepada pesakit berbayar berbanding rakyat biasa, serta berlaku defisit kepercayaan awam apabila rakyat menyaksikan nilai kesaksamaan dalam sistem kesihatan semakin terhakis.
“Kita tidak boleh membenarkan sistem kesihatan dua darjat berakar dalam negara ini, satu yang mempercepatkan rawatan untuk golongan kaya, dan satu lagi yang menyuruh golongan miskin menunggu, menderita atau mati dalam diam. Kesihatan bukan kemewahan. Ia adalah hak rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, GEM menggesa kerajaan menangguhkan serta-merta pelaksanaan skim Rakan KKM, dan melaksanakan satu kajian semula yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap kesan jangka panjangnya pada keadilan, akses dan integriti sistem kesihatan negara.
“Ini bukan sekadar kesilapan dasar. Ia adalah krisis moral dan sosial yang sedang terbentuk. Jika kerajaan terus memilih jalan ini, ia bukan sedang membaiki sistem tetapi ia sedang menyingkirkan rakyat,” katanya. – UTUSAN







