PETALING JAYA: Inisiatif Rakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diumumkan baru-baru ini bukanlah satu bentuk penswastaan sistem kesihatan, sebaliknya kekal sebagai inisiatif milik dan kawalan kerajaan sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu susulan kekeliruan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan orang ramai mengenai status sebenar Rakan KKM.
Beliau berkata, status entiti awam atau swasta perlu dilihat daripada lima aspek utama iaitu pemilikan, kawalan, sumber pembiayaan, agihan keuntungan dan tujuan penubuhan.
“Bagi Rakan KKM, syarikat ini dimiliki 100 peratus oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD. Sekiranya pelabur daripada Institusi Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) menyertai kemudian, pegangan saham masih kekal dalam kalangan entiti milik kerajaan,” katanya dalam akaun X beliau.
Dr. Dzulkefly berkata, kawalan terhadap Rakan KKM juga kekal di bawah Kementerian Kesihatan sebagai pihak kawal selia yang bertanggungjawab membuat keputusan penting berhubung pengurusan dan hala tuju syarikat itu.
“Pembiayaan inisiatif ini adalah sepenuhnya daripada sumber awam, termasuk dana permulaan sebanyak RM25 juta yang disediakan oleh Kementerian Kewangan, manakala pembiayaan tambahan untuk fasa kedua berpotensi datang daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Mengenai agihan keuntungan pula, keuntungan tersebut akan disalurkan semula kepada kerajaan atau GLIC, bukannya kepada individu swasta. Sebarang lebihan hasil pula akan digunakan untuk mensubsidi perkhidmatan kepada pesakit awam,” ujarnya.
Dr. Dzulkefly berkata, Rakan KKM ditubuhkan dengan lima matlamat demi kepentingan awam iaitu menawarkan perkhidmatan kesihatan ekonomi premium berasaskan nilai dalam keadaan inflasi kos perubatan yang tinggi.
Selain itu, menggunakan lebihan hasil untuk subsidi silang kepada pesakit awam dan meningkatkan mutu penjagaan asas serta menyokong kakitangan kesihatan KKM dengan menyediakan peluang meningkatkan pendapatan secara sah dan terkawal.
Rakan KKM juga menjadi penanda aras harga bagi membendung inflasi kos rawatan termasuk di hospital swasta dan menyediakan pulangan yang sewajarnya kepada GLIC dan ahli-ahli mereka demi kelestarian jangka panjang.
Mengulas mengenai persoalan lesen operasi bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), Dr. Dzulkefly berkata, akta itu telah dirangka mengambil kira kemungkinan kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan melalui badan korporat (yang diperbadankan).
“Ini penting untuk mewujudkan kesetaraan dengan sektor swasta, terutamanya jika Rakan KKM ingin memainkan peranan sebagai penentu harga perkhidmatan kesihatan.
“Akta tersebut secara jelas membezakan antara penyedia perkhidmatan kesihatan kerajaan yang diperbadankan dan entiti yang diswastakan sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, Akta 586 menerusi Fasal 10(a)(iii) secara jelas menyatakan kemudahan jagaan kesihatan yang diperbadankan oleh kerajaan perlu dilesenkan di bawah akta tersebut.
“Kemudahan jagaan kesihatan kerajaan ertinya apa-apa kemudahan atau dimaksudkan untuk digunakan bagi mengadakan perkhidmatan jagaan kesihatan yang ditubuhkan, diselenggarakan, dikendalikan atau disediakan oleh kerajaan tetapi tidak termasuk kemudahan jagaan kesihatan kerajaan yang diswastakan atau yang diperbadankan.
“Pemahaman awam terhadap struktur dan peranan Rakan KKM amat penting dan saya memberi jaminan kementerian akan terus memperjelaskan perkara ini melalui infografik dan bahan penerangan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan, KKM menegaskan program Rakan KKM bukan satu langkah penswastaan, sebaliknya inisiatif baharu bagi mempercepatkan rawatan kes and elektif di hospital di bawahnya.
Dr. Dzulkefly dilaporkan berkata, perkara itu tidak membabitkan sebarang penggunaan dana swasta, sebaliknya dibiayai oleh GLIC dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti. – UTUSAN










