Kebajikan Maori jadi model pindaan Akta Orang Asli 1954

Kebajikan Maori jadi model pindaan Akta Orang Asli 1954

AHMAD Zahid Hamidi bertemu Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka di Parlimen New Zealand, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON, NEW ZEALAND: Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dijangka dibentangkan pada Mac 2026 akan mengambil kira beberapa elemen penting diamalkan New Zealand dalam menjaga hak dan kebajikan masyarakat Maori sebagai model utama.

Antara elemen penting yang diambil kira adalah membabitkan isu hak pemilikan tanah, penyertaan dalam pendidikan dan mewujudkan agensi pembiayaan keusahawanan dalam kalangan Orang Asli.

Bagaimanapun, model itu akan disesuaikan dengan amalan kira-kira 225,000 Orang Asli di seluruh Semenanjung Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Akta 134 yang akan dipinda itu tidak menggunakan sepenuhnya acuan yang diamalkan di New Zealand sebaliknya disesuaikan dengan masyarakat Orang Asli Malaysia.

“Beberapa perancangan harus dijadikan sebagai sebahagian daripada perundangan. Apa yang saya pelajari daripada kementerian khusus kemajuan orang-orang Maori di sini, ia bukan sekadar akta yang meliputi hak pemilikan tanah semata-mata.

“Tetapi termasuk hak dalam bidang pendidikan, keterlibatan mereka dalam keusahawanan dan juga agensi khusus untuk pembiayaan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Maori, Tama Potaka bertempat di Bilik Mesyuarat Menteri, Parlimen New Zealand.

Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai dasar pembangunan komuniti peribumi, sekali gus membuka potensi kerjasama antara Malaysia dan New Zealand dalam memperkasa komuniti Orang Asli negara.

Beliau kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, David Seymour di Bangunan Parlimen diikuti sesi libat urus bersama Presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) Ibrar Sheikh di Rumah Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengikis hak Orang Asli sebaliknya mahu memperkasakan komuniti itu kerana Akta 134 sudah berusia 71 tahun tanpa sebarang penambahbaikan yang signifikan.

“Maka pindaan ini adalah untuk melihat mana-mana aspek yang terlalu longgar untuk menjaga kebajikan Orang Asli tetapi ia tidak bererti kita mahu menekan kerajaan negeri atau jabatan di peringkat Persekutuan sebaliknya perlu ada pemurnian harus dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau menjangkakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Orang Asli itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, terdapat 225,000 masyarakat Orang Asli di Malaysia justeru, kerajaan tidak pernah meminggirkan hak dan kebajikan golongan tersebut.

Tambahnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab terhadap Orang Asli harus mengubah ekosistem pentadbiran dan kemajuan masyarakat peribumi itu berdasarkan kepada keperluan semasa.

“Jika dulu (fokus) dikhususkan kepada soal infrastruktur, kemudahan perumahan, pendidikan tetapi ia adalah perkara asas dan mereka memerlukan lebih daripada itu.

“Kita lihat kerjasama dengan kerajaan negeri terutama dalam pemilikan tanah dibudayakan di kalangan masyarakat Orang Asli termasuk kawasan rayau.

“Tentunya ini agak menyukarkan kerajaan-kerajaan negeri, namun ia boleh dimurnikan dengan melakukan sesi libat urus bukan sahaja dengan masyarakat dan pemimpin Orang Asli di 377 perkampungan seluruh negara dan melibatkan kepimpinan kerajaan negeri di mana kuasa pentadbiran tanah adalah di bawah mereka,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN