PETALING JAYA: Lima inisiatif diperkenalkan dalam memperkasa pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif pertama ialah Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 melibatkan 652 pelajar yang bersekolah di luar kem.
Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Melalui program ini, pelajar terpilih dibekalkan dengan peranti secara percuma tajaan BHIC Aero Services Sdn. Bhd. (BHICAS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) selaku penaja keseluruhan program,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 di sini, hari ini.
Kerajaan menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn. Bhd. bagi memperkasa masa depan generasi pertahanan.
Mohamed Khaled berkata, inisiatif kedua adalah Program Sentuhan Elit SPM melibatkan 658 pelajar terpilih dari enam sekolah dalam kem (SDK).
Katanya, pelajar berpeluang mengikuti Tuisyen Intensif SPM, Bengkel Teknik Menjawab Soalan, Pecutan Akhir SPM, Program Motivasi Pelajar dan Ibu Bapa serta Program Kerjaya dan Hala Tuju Selepas SPM.
“Inisatif ketiga pula membabitkan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) membabitkan 22 bidang kursus jangka pendek seperti masakan, solekan, kraftangan, pemasaran digital, kursus grafik dan kecerdasan buatan (AI).
Kata Mohamed Khaled, inisiatif keempat ialah Program Simpanan Pendidikan Madani yang merupakan hasil kolaborasi antara Yayasan LTAT bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Katanya, seramai 3,775 pelajar tahun satu, anak anggota yang masih berkhidmat menerima RM50 secara sekali bayar dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime dengan jumlah keseluruhan sumbangan RM188,750.
“Inisiatif kelima adalah Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya.-UTUSAN










