PETALING JAYA: Tiga mata pertama menjadi buruan skuad bawah 23 (B-23) negara apabila menentang Filipina dalam aksi sulung Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, hari ini.
Jurulatihnya, Nafuzi Zain mahu anak-anak buahnya menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk menghadapi Filipina bagi memastikan mereka memperoleh keputusan positif dalam aksi tersebut.
“Kalau saya, fokus harus diberikan pada perlawanan pertama kita bertemu Filipina kerana ini adalah titik permulaan buat pasukan jika mahu melangkah jauh pada kejohanan ini.
“Sudah tentu kita mahu meraih keputusan positif tetapi itu pun belum menjanjikan apa-apa. Namun, jika menang, kita boleh cakap pasukan sudah sebelah kaki (ke separuh akhir).
“Justeru, saya boleh katakan perlawanan bertemu Filipina adalah aksi wajib menang dan selepas itu baru kita boleh tumpukan aksi menentang Brunei dan Indonesia,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah skuad B-23 negara, Muhammad Abu Khalil mahu menggunakan pengalamannya beraksi di luar negara sebelum ini bagi membantu pasukan negara.
“Saya akan menggunakan pengalaman berkelana ke Liga Jepun dan Liga Thailand sebelum ini untuk membantu pasukan.
“Corak permainan saya juga semakin matang dan sudah tentu kalau boleh, kita mahu bergelar juara pada kempen kali ini,” katanya.
Selepas aksi bertemu Filipina, pasukan negara akan menentang Brunei pada Jumaat ini sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan Indonesia pada 21 Julai. – UTUSAN









