PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui pasukannya perlu bersedia dalam aspek fizikal, taktikal dan mental sebelum Kelayakan Piala Asia B-23 2026 bermula September ini.
Katanya, barisan pemain telah menimba pengalaman berguna di Piala ASEAN 2025 di Jakarta, Indonesia biarpun gagal melangkah ke separuh akhir selepas seri 0-0 dengan tuan rumah dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Thailand sangat kuat, Lubnan pula pasukan fizikal manakala Mongolia semakin meningkat. Kami harus bersedia dari semua aspek fizikal, taktikal dan mental.
“Kejohanan Piala ASEAN juga beri saya pengalaman penting sebagai jurulatih pasukan kebangsaan. Kita dah nampak tahap lawan, kualiti fizikal dan teknikal mereka. Ia jadi penanda aras untuk kita perbaiki segalanya menjelang kelayakan nanti,” katanya.
Untuk aksi kelayakan Piala Asia 2026 pada 1 hingga 9 September depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama tiga lawan sukar iaitu Mongolia, Lubnan dan tuan rumah Thailand.
Dalam pada itu, Nafuzi tetap berbangga dengan kesungguhan dan komitmen anak buahnya biarpun sasaran di Piala ASEAN gagal direalisasikan.
“Tempoh persiapan sangat singkat, tapi pemain menunjukkan mereka cepat belajar dan memahami apa yang saya mahu dari segi taktikal. Itu satu perkara yang sangat positif.
“Majoriti pemain kita hanya beraksi di Piala MFL dan hanya segelintir pernah bermain di Liga Super. Jika dibandingkan dengan pasukan lain yang rata-rata pemainnya bermain di liga profesional, memang ada jurang.
“Saya tahu ini pasukan muda. Tapi mereka ada semangat dan kesungguhan. Dengan persediaan yang betul, saya percaya kami mampu beri saingan sengit dan buktikan sesuatu di Thailand nanti,” katanya. – UTUSAN









