JERANTUT: “Harapnya jeritan rasa prihatin terhadap nasib rakyat Palestin dan kebencian terhadap rejim Zionis di puncak Gunung Tahan ini dapat didengari masyarakat seluruh dunia.”
Demikian kata seorang malim gunung Taman Negara Kuala Tahan, Tajuddin Mat Amin, 47, di Kuala Tahan di sini, yang mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang di puncak gunung tertinggi di Semenanjung tersebut.
Tajuddin mengetuai ekspedisi mendaki Gunung Tahan setinggi 2,187 meter selama tujuh hari yang berakhir kelmarin bersama 10 orang pendaki.
“Ketika mengemas peralatan mendaki dan makanan, perkara utama yang saya tidak lupa, iaitu membawa bendera Palestin dan Jalur Gemilang untuk mengetuai pendakian ke puncak Gunung Tahan bersama pelancong berkenaan.
“Setelah dua hari satu malam mendaki, kami tiba di puncak gunung dan saya terlebih dahulu memacak bendera Malaysia dan dituruti dengan kibaran bendera Palestin sambil melaungkan ‘Hidup Palestin’ dan slogan Palestine will be free (Bebas Palestin) berulang kali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Tajuddin yang bertugas sebagai malim gunung sejak 25 tahun lalu berkata, tujuan dia berbuat demikian kerana prihatin dengan nasib penduduk Gaza yang beragama Islam termasuk kanak-kanak terbunuh akibat serangan tentera Zionis sejak bermula krisis tersebut tahun lalu.
Katanya, dia akan membawa misi yang sama, iaitu mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama pelancong yang dijangka berkunjung ke Taman Negara Kuala Tahan bulan depan.-UTUSAN.










