PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) mengekalkan prestasi kukuh pada Jun 2025 apabila mencatatkan jualan sebanyak 7,773 unit, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 44,286 unit.
Prestasi konsisten ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang berkualiti, boleh dipercayai dan menepati keperluan pengguna di Malaysia.
Barisan kenderaan Toyota terus mendapat sambutan daripada pelbagai segmen pelanggan termasuk pemilik kali pertama, pengguna korporat mahupun pelanggan setia.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. berkata, syarikat sentiasa menumpukan usaha membina hubungan jangka panjang bersama pelanggan dan komuniti setempat.
“Bagi kami, prestasi, kebolehpercayaan dan nilai sebenar adalah perkara yang paling penting untuk rakyat Malaysia.
“Melalui setiap kenderaan dan pengalaman yang ditawarkan, kami ingin kekal relevan dalam perjalanan harian pelanggan. Inilah cara kami terus menggerakkan dunia anda,” katanya dalam kenyataan.
Bagi melengkapi prestasi jualan Jun, UMWT turut melancarkan pelbagai promosi menarik bagi memudahkan rakyat Malaysia memiliki kenderaan Toyota.
Antara model yang ditawarkan termasuk Toyota Hilux dengan ansuran bulanan serendah RM935, rebat promosi sehingga RM8,000 serta servis percuma selama tiga tahun.
Bagi Toyota Corolla Cross pula, ansuran bulanan ditawarkan serendah RM993 bersama rebat promosi sehingga RM4,000.
Dalam pada itu, UMWT turut menjadi penaja utama Festival Super GT Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus menandakan kemunculan semula siri perlumbaan berprestij itu ke tanah air selepas 12 tahun. Acara berkenaan menarik lebih 75,000 pengunjung.
Menurutnya, Toyota turut membuka zon khas GAZOO Racing (GR) yang menampilkan model berprestasi tinggi GR, simulator perlumbaan, aktiviti interaktif dan tarikan mesra keluarga.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen Toyota dalam membawa keseronokan sukan permotoran lebih dekat kepada rakyat Malaysia.
“Turut mencuri tumpuan ialah perlumbaan ketahanan satu jam TGR Vios Challenge yang buat pertama kali dipertandingkan di peringkat antarabangsa.
“Perlumbaan itu melibatkan 36 pelumba termasuk lima bakat muda daripada Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GAZOO Racing.
“Penganjuran ini mencerminkan pelaburan jangka panjang UMWT dalam sukan permotoran serta pembangunan bakat tempatan dan menjadi antara usaha memperluaskan akses kepada perlumbaan berprestasi tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, UMWT turut mempamerkan pendekatan inovatifnya dalam acara Energy Asia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Jun lalu. – UTUSAN










