PASIR SALAK: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini memperkenalkan dua varieti baharu padi yang memiliki ketahanan penyakit yang lebih baik selain mengeluarkan lebih banyak hasil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti baharu MR CL3 dan MR CL4 itu adalah hasil kerjasama strategik MARDI dan Syarikat BASF Sdn. Bhd. yang bermula sejak 20 tahun lalu.
Katanya, usaha itu bukan sahaja mencetuskan teknologi inovatif yang sesuai dengan cabaran semasa malah menjadi model kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan industri padi dan beras negara.
“Kedua-dua varieti ini mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta dapat dimanfaatkan di dalam program inisiatif KPKM yang sedang dijalankan seperti penanaman lima kali dua tahun dan SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
“Selain itu, kelebihan MR CL3 dan MR CL4 ialah matang awal iaitu selama 99 hari dan 102 hari dengan potensi hasil melebihi tujuh tan sehektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Menurut Mohamad, kaedah pengkomersilan varieti baharu itu dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield yang merangkumi varieti padi, racun rumpai khas Trek dan panduan penggunaan teknologi.
Katanya, ketiga-tiga komponen itu digabungkan bersama bagi menjamin kelestarian teknologi dan mencapai matlamat untuk menangani masalah padi angin.
“Padi angin adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh pesawah di negara ini di mana kesan serangannya menyebabkan kerugian hasil tuaian yang tinggi iaitu di antara 20 hingga 80 peratus.
“Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan pendapatan pesawah malah secara tidak langsung memberi kesan kepada pengeluaran padi negara,” katanya.
MARDI dan BASF meneruskan kerjasama dalam penghasilan varieti padi MR CL3 dan MR CL4 selepas kejayaan MR 220CL1 dan MR 220CL2 pada tahun 2010 menerusi penyelidikan teknologi Clearfield khusus untuk mengawal serangan padi angin.
Teknologi Clearfield yang diperkenalkan ketika itu mendapat sambutan baik dalam kalangan petani kerana berkesan mengawal padi angin dan rumpai dengan hanya satu kali semburan racun ‘OnDuty’.
Keistimewaan utama MR CL3 dan MR CL4 adalah daya toleran terhadap racun rumpai kumpulan Imidazolinone.
Ia dihasilkan daripada kacukan varieti tempatan iaitu MR 253 dengan varieti MR 220CL2 yang mempunyai gen rintang terhadap racun tersebut.
Racun ini dapat mengawal padi angin secara selektif dan berkesan tanpa menjejaskan pertumbuhan padi MR CL3 dan MR CL4. – UTUSAN











