KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan kumpulan akhir 310 buah bas diesel baharu Rapid Bus di bawah Program Penggantian Bas 2025, hari ini.
Pelancaran itu sekali gus menandakan fasa penutup kepada penggunaan bas diesel sebelum negara beralih sepenuhnya kepada sistem pengangkutan awam yang lebih lestari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembelian tersebut merupakan yang terakhir bagi kategori diesel sebagai usaha kerajaan meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mengurangkan pelepasan karbon, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Langkah ini penting untuk memperbaharui aset lama dan menangani isu kekurangan armada sedia ada, khususnya di Lembah Klang.
“Setakat ini, kita hanya mempunyai lebih 1,000 buah bas, sedangkan kajian menunjukkan Kuala Lumpur memerlukan sekurang-kurangnya antara 3,000 hingga 5,000 buah bas untuk membentuk sistem yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Bas Diesel Baharu Rapid KL dan Rapid Penang di sini hari ini.
Menurut Anthony Loke, semua bas tersebut diimport dari luar negara namun dipasang sepenuhnya di Johor bagi menyokong pemindahan teknologi serta pembangunan industri automotif tempatan.
Katanya, bas berkenaan mematuhi piawaian pelepasan Euro 5 yang mampu mengurangkan pelepasan nitrogen oksida (NOx), sekali gus membantu meningkatkan kualiti udara khususnya di kawasan bandar utama.
“Pembelian fasa akhir ini diperlukan sebagai penyelesaian segera sebelum peralihan penuh kepada penggunaan bas elektrik, termasuk pembangunan stesen pengecasan dan pelaksanaan latihan teknikal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Amir Hamdan berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada pelan peralihan strategik syarikat bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang cekap dan selamat kepada pengguna.
“Bas diesel baharu ini masih diperlukan bagi menyokong operasi semasa yang tidak lagi dapat ditampung oleh bas lama.
“Langkah ini juga akan meningkatkan pengalaman pengguna secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Amir, Rapid Bus turut merancang untuk memperkenalkan bas bersaiz 8.9 meter pada suku ketiga 2025, khusus untuk kawasan kediaman yang sukar diakses oleh bas bersaiz besar.
“Kami juga dalam rangka pelan jangka panjang untuk memperkenalkan penggunaan bas elektrik bermula tahun 2026.
“Inisiatif ini sedang diperkukuh menerusi pembinaan fasiliti pengecasan serta latihan teknikal dan penyelenggaraan yang kini giat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN











