PETALING JAYA: Lebih 600 spesies burung unik yang dikenal pasti terdapat di Sabah bakal menjadi tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sabah Tourism dalam kenyataan berkata, justeru itu Festival Burung Borneo yang dianjurkan setiap tahun akan kembali diadakan pada 25 hingga 26 Oktober di Rainforest Discovery Centre, Sandakan bakal mengetengahkan keunikan negeri tersebut.
Katanya menerusi festival tersebut, ia bakal memberi peluang kepada peminat burung untuk menyertai acara berkenaan.
“Festival ini mengumpulkan peminat burung tempatan dan antarabangsa, jurugambar serta pejuang pemuliharaan dalam satu acara penuh semangat untuk meraikan keindahan alam sekitar dan kepelbagaian burung di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabah Tourism berkata, terdapt persatuan dan pertubuhan yang menganjurkan aktiviti berkaitan burung seperti Persatuan Pemerhati Burung Sabah.
“Organisasi ini sering menganjurkan aktiviti berkumpulan, bengkel dan program komuniti yang sesuai untuk pemula yang ingin mempelajari lebih lanjut dan membina rangkaian bersama pakar tempatan.
“Melalui sokongan profesional dan komuniti yang aktif, pengalaman memerhati burung anda di Sabah pasti akan menjadi lebih bermakna, selamat, dan menyeronokkan,” katanya.
Dalam pada itu, Sabah Tourism berkata, terdapat aplikasi seperti Merlin Bird ID dan BirdNET bagi penggiat baharu untuk mengenal pasti spesies burung berdasarkan suara.-UTUSAN











